Perkongsian Buku Aku dan IM 2

[tag(umum): yang mati itu hanyalah jasad]

Dalam sebuah puisi Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi untuk Imam Hassan Al-Banna yang syahid dibunuh, ada sebaris kata-kata daripada puisinya berbunyi:

Takkan pernah mati kecuali seorang penjenayah dan pelaku dosa

Astaghfirullah al Azim. Begitu tajam kata-kata Sheikh YAQ. Jika matinya seseorang itu disenangi dan dilupai maka, tentu sahaja jasadnya sebenarnya menjadi lebihan kepada dunia tanpa membawa apa-apa makna. Mungkin lebih teruk lagi, nilainya sama seperti seorang penjenayah atau pelaku dosa kerana matinya seorang pendosa disyukuri manusia disebabkan dosanya berhenti.

Alangkah buruknya seorang manusia jika hidup dalam kitaran hidupnya dan sekitar dirinya sahaja. Meletakkan kehidupan untuk kelengkapan dan kesenangan dirinya dan tentunya apabila dia pergi meninggalkan dunia maka dia pergi hanya membawa dirinya tanpa meninggalkan apa-apa di dunia. Kalaulah begitu, bukankah seluruh urusan hidupnya hanya menjurus kepada pembaziran. Justeru, atas sebab apa dia dihidupkan? Jadilah dia seorang penjenayah yang mencuri urusan masa dan kesenangan manusia lain yang boleh dimanfaatkan kepada dunia dan untuk akhirat.

#AkudanAlIkhwanAlMuslimun

Advertisements

Perkongsian Buku Aku dan IM 1

[tag(usrah): berjuang untuk kehidupan]

Semasa peristiwa perang Arab-Palestin, ada sebahagian pemuda-pemuda IM menginfakkan harta dan jiwa mereka dengan menepati firman Allah SWT bermaksud:

Dan berjihadlah di jalan Allah dengan harta dan diri kamu [At-Taubah 9:41]

Lalu, semasa perang Arab-Palestin berlangsung, seorang polis Israel dapat ditawan dan ditanyakan soalan mengapa mereka benar-benar gentar dengan pasukan Allahu Akbar (pasukan sukarelawan pemuda IM) walaupun mereka tidak
begitu mahir dengan strategi ketenteraan serta mempunyai kemudahan senjata yang dangat terhad? Balasnya:

Kami orang Yahudi datang dari seluruh pelosok dunia ke tempat ini untuk hidup. Tapi mereka datang dari seluruh pelosok dunia ke tanah ini untuk mati. Bagaimana kami dapat berhadapan dengan orang-orang seperti mereka?

#AkudanAlIkhwanAlMuslimun