Eksklusif

[tag(usrah): mengelak mudarat yang banyak untuk keberhasilan yang sedikit dan sempurna]

Pasti dalam benak muharrik sekalian pernah bertanya, KITA ini penyeru (pendakwah), tetapi kenapa dakwah kita kadang-kadang macam eksklusif bukan inklusif? Bilamana ada pula lapisan-lapisan usrah, ada pula bahan-bahan tertentu mengikut lapisan, apakah kita tahu yang anak usrah kita ini berada di lapisan yang betul? Habis, bagaimana dengan orang tak mengikut usrah, tiba-tiba datang untuk menyertai usrah, dimanakah lapisan yang sesuai yang boleh menempatkannya? Bagaimana dahulu kita rapat orang itu ketika dia mengikut usrah dan sejak dia sudah tinggalkan usrah, kita sudah tidak rapat dengannya, hanya rapat dengan yang mengikut usrah sahaja? Jika kita tak cukup tangan, kenapa kita terpaksa biarkan orang itu tiada usrah (dalam keadaan orang itu tidak kisah dia ada usrah atau tidak)?

Di sini, apabila tiada kefahaman yang betul, penggerak-penggerak dakwah akan keliru dengan gerak kerjanya, lalu dia pun mengikut arus umum yang dia rasakan betul rasionalnya tanpa meletakkan perhatian terhadap perkara-perkara yang bakal berlaku selepasnya. KITA seharusnya jelas pada dakwah yang kita serukan dahulu dalam kita menyeru orang kepada jalan dakwah ini. Jika kita tidak jelas, perkiraan yang kita lakukan akan mendapat unjuran yang tidak progresif. Lalu, KITA akan letih dalam membawa usrah, dan orang-orang keliru (tak faham) mula meninggalkan usrah, menyebabkan kita yang bakal terkorban. Adakalanya, prinsip perlu dipegang supaya gerak kerja kita lebih berhati-hati dan berkualiti.

Dakwah kita bukan eksklusif dan sempit pada golongan tertentu. Tentunya tidak, kerana Islam tidak mengajar kita begitu. Islam ialah rahmat untuk semua dan semua orang berhak menikmatinya. Cuma, KITA berdakwah secara fokus dan teliti seperti apa yang dianjurkan oleh sunnah. Cuba hayati perbezaannya, dakwah kita berfokus bukan sempit.

Apa yang dimaksudkan dengan sempit dan fokus? Bila kita menyoroti sirah Nabi SAW, dakwah itu dimulakan dengan sirr (secara rahsia) kemudian jahar (terbuka). Semasa dakwah terbuka pula terbahagi kepada dua fasa, sebelum dan selepas Hamzah dan Umar memeluk Islam (lebih kurang 5 H, Umar peluk Islam selepas beberapa hari Hamzah memeluk Islam). Perlunya kita berpegang kepada fasa dakwah secara general yang cuba diketengahkan oleh Imam Hassan Al-Banna iaitu:

1. Taa’rif (Tajmi’ ialah subset kepada Taa’rif)

2. Takwin (Tarbiyyah, mu’ayashah ialah subset kepada takwin)

3. Tanfiz (Tanfiz tidak akan lengkap tanpa takwin berterusan)

Bukti dakwah nabi tidak sempit ialah Nabi melakukan proses keterbukaan semasa awal-awal peringkat dakwah secara terbuka diperintahkan. Namun setelah itu, proses penapisan berlaku setelah ada yang tidak mahu mengikuti seruan nabi.

Perkara ini sebenarnya disunnahkan kepada kita untuk memahaminya. Dalam dakwah KITA, bahagian yang paling utama ialah TAKWIN kerana di situlah tempat untuk memfokuskan dakwah KITA setelah berlakunya proses Taa’rif ataupun Tajmi’. Jadi, KITA tidak pernah menyempitkan atau mengeksklusifkan dakwah KITA. Ianya adalah proses berpanjangan (follow up). Takwin merupakan proses utama dan menentukan keberhasilan dan keberjayaan dakwah KITA. Kerana itu ianya perlu berfokus, kerana kita akan menjadi sukar untuk berfokus apabila bilangan orang yang mengikuti dakwah KITA (melalui usrah yang kita bawa) melebihi daripada 7 orang ke atas. Jika ianya melebihi, ketika itu, wasilah usrah akan menjadi pengisian umum sahaja dan padanya sudah mencairkan nilai Takwin itu sendiri.

Pada proses takwin itu adanya tarbiyyah, mu’ayashah dan Qodhoya. Di situ barulah KITA akan menilai kesesuaian bahan yang digunakan pada peringkat-peringkat takwin tertentu. Kerana itu, pada fasa Ta’arif, adalah sangat penting bagi seorang penggerak menilai dan mengelaskan mutarabbinya supaya mutarabbinya berada di peringkat yang betul lalu menunaikan haknya sebagai mutarabbi (dari segi bahan dan kefahaman). Jika tidak, takwin sukar untuk dilaksanakan apabila mutarabbi tidak berada di peringkat yang betul, lalu akan terjadinya salah faham atas kekeliruan mutarabbi itu sendiri sehingga akan menimbulkan mudarat kepada murabbi dan mutarabbinya sendiri.

Dakwah yang sempit ialah dakwah yang memilih-milih pada golongan tertentu, pada kaum tertentu atau pada kenalan jamaie sahaja. Lalu jika dia berbaju ungu kita berbaju coklat, kita awal-awal lagi sudah tidak menghiraukannya jika kita memilih yang berbaju coklat sahaja. Di situ, dakwah menjadi sempit, apabila bahan yang digunakan pula hanya sempit kepada satu bidang Islam dan tidak menyeluruh. Contohnya: fokus kepada siasah Islam berbanding pembangunan umat dan diri sendiri. Lalu, apabila yang mengikut dakwah dikelas-kelaskan mengikut baju, bukan kefahaman, orang akan mudah tersalah faham dan akan ada pengikut yang menjadi ekstrem seterusnya menimbulkan suasana yang keruh. Seruan Islam itu perlu berlandaskan perkara-perkara yang positif dari sudut mikro (individu atau perkumpulan kecil) dan cenderung kepada perkara-perkara yang positif dari sudut makro (melibatkan keputusan perkumpulan yang berskala besar). Di situ, perlunya pemfokusan pada tarbiyyah, supaya orang yang menerima tarbiyyah itu jelas membuat keputusan dan dakwah yang KITA serukan.

Pada setiap fasa di atas, perlunya ada kefahaman mengikut waqi’ (realiti = lokaliti, tempat, masa, keadaan mutarabbi) yang baik, sebelum melaksanakannya dan kadang-kadang kita perlu fokuskan individu tertentu daripada beberapa individu yang berpotensi. Kalau kita tidak berhati-hati dalam fasa ta’arif, kita akan menjadi terbeban pada fasa takwin. Lalu akan menimbulkan situasi “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Dan pada fasa takwin itu perlulah dilakukan secara berfokus. Tunaikan hak pada orang-orang yang mahu dahulu, daripada orang yang berpotensi tetapi ia akan berubah mengikut waqi’ dan kita perlu bijak dalam mengatur strategi dakwah KITA sendiri supaya ada check and balance dalam melunaskan hak-hak dakwah KITA.

Pada peringkat Tanfiz, fasa takwin itu berjalan mengikut waqi’ tertentu. Tidak boleh tidak fasa tanfiz tanpa ada fasa takwin, cuma penekanannya mungkin berbeza kerana mutarabbi akan lebih banyak belajar dalam fasa takwin nya sendiri, kerana dia juga melakukan fasa dakwah yang sama.

Jadi, kita fahami disini, dalam gerak kerja dakwah KITA, tiada perkataan eksklusif mahupun sempit. Yang ada ialah berfokus untuk keberhasilan dakwah yang berpanjangan dan insyaAllah berkekalan.