Hidup sebagai Syahid atau Mati Syahid?

[tag(umum): memahami erti jihad sebenar]

dakwah

Pemuda dan Ideologi

Pada umur meningkat dewasa, pemuda berada di peringkat pencarian identiti untuk disematkan sebagai jati diri. Menjadi pemuda di Malaysia, kita terdedah kepada pelbagai ideologi yang membuatkan kita mudah terpengaruh kepadanya. Boleh jadi pengaruh yang di bawa itu baik keseluruhannya ataupun sebaliknya. Ideologi yang diambil akan menjadi identiti bagi mencorakkan warna-warni kehidupan. Walaubagaimanapun, sesebuah ideologi berpaksikan asas yang salah boleh mengundang kepada pelbagai masalah.

Krisis di Syria dan kemunculan ISIS telah mengenengahkan ideologi jihad di atas nama Islam yang terpesong. Mereka membawa ideologi mendirikan ‘Khilafah Islamiyyah’ tatkala umat Islam masih lemah dibelenggu dengan sistem ekonomi, sosial dan akhlak yang jauh terkebelakang berbanding dengan negara-negara bukan Islam. Bahkan, pemimpin-pemimpin negara majoritinya umat Islam masih berselisihan dan belum mencapai kata sepakat sesama mereka. Sayangnya di Malaysia, ada di kalangan pemuda yang berani dan berhati murni untuk menegakkan Islam termakan dengan ideologi sebegini lalu mempengaruhi mereka bertindak ke medan ‘jihad perang’. Tambahan pula, dengan kirisis tertindasnya umat Islam di Timur Tengah, hal ini menyemarakkan lagi emosi anak muda dan diterjemahkan kepada semangat yang berkobar menentang kezaliman melalui ‘jihad perang’.

Mati syahid

Mutakhir ini, tertulis di laporan akhbar, berita penangkapan kumpulan-kumpulan dan individu-individu di Malaysia yang terlibat dalam mengikuti jihad di Syria atau menyertai ISIS. Rata-rata mereka berada dalam umur lingkungan pemuda. Antara elemen terbesar yang membakar semangat mereka menyertai “jihad” itu ialah meraih gelaran ‘mati syahid’. Fahaman jihad sebegini ialah fahaman yang menyimpang dari tujuannya. Pemahaman mati syahid tidak semudah dengan menyertai perang tanpa memahami tujuan dan matlamat akhir yang ingin diperoleh daripada ‘jihad perang’.

Benar, kemuliaan seseorang mati syahid balasannya hanyalah syurga. Siapa yang tidak mahu masuk syurga tanpa hisab? Bahkan, seharusnya tercatat di dada setiap muslim untuk bercita-cita mendapatkan mati syahid tanpa syarat. Firman Allah S.W.T:

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar [At-Taubah 9:111]

Erti jihad sebenar

Jika fahaman jihad diletakkan di bawah nama Islam, maka, seharusnya kita mencontohi sumber asal jihad itu sendiri iaitu mengikuti fahaman jihad Rasulullah dan para sahabat. Mereka ialah pelopor erti jihad sebenar yang telah berjaya membawa panji Islam menguasai hampir 2/3 dunia suatu ketika masa dahulu. Akan tetapi, jihad perang pada zaman Rasulullah SAW hanya dimulakan setelah Rasulullah dan para sahabat menguasai Madinah dan umat Islam merupakan golongan majoriti di zaman itu. Ketika itu, syariat Islam dapat ditegakkan secara bebas tanpa tentangan (fizikal) dan piagam Madinah dapat dijalankan seadil-adilnya. Sistem keadilan, ekonomi, sosial dan akhlak Islam dihidupkan oleh para sahabat di Madinah. Siri-siri jihad di zaman Madinah pula adanya tercetus kerana ancaman orang kafir dan ada yang tercetus dengan suruhan Allah untuk membebaskan masyarakat setempat menerima dakwah Islam setelah jalan dakwah secara aman ditolak.

Jelaslah di sini, ‘jihad perang’ yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para sahabat ialah jihad mempertahankan dakwah Islam dan bukan jihad membalas dendam atau menentang golongan penindas pada ketika umat Islam masih lemah. Jika tidak, tentunya ‘jihad perang’ sudah diperintahkan lebih awal sejak di zaman Makkah lagi. Namun, Allah memerintahkan supaya umat Islam di zaman Makkah bersabar kerana saranan jihad ketika itu ialah ‘jihad hujjah’ (menyampaikan dakwah) selain ‘jihad melawan diri dan nafsu’ di sebalik tekanan dan kesengsaraan yang mereka hadapi. Sabda Rasulullah SAW:

Seorang mujahid ialah seorang yang berjihad melawan nafsunya kerana Allah SWT dan orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah SWT [Muttafaq alaih]

Sesudah mereka (para sahabat) berjaya menguasai jihad hujjah dan jihad melawan diri dan nafsu (zaman Makkah) barulah Allah mengizinkan untuk mereka melaksanakan ‘jihad perang’ (zaman Madinah). Perintah ini diturunkan setelah mereka amat memahami fungsi jihad sebagai kelangsungan penyebaran dakwah Islam.

Tindakan bunuh diri

Menuntut tertegaknya sistem khalifah di tengah-tengah kucar-kacirnya dunia Islam ialah tuntutan yang tergesa-gesa (isti’jal) ibarat memetik buah yang belum tumbuh pohonnya lagi. Ideologi ini harus diperbaiki lebih-lebih lagi dalam konteks di Malaysia. Menyertai ‘jihad perang’ tanpa matlamat dan fahaman dakwah yang jelas hanya menjadikan jihad sebagai medan ‘membunuh diri’ dan bukan jihad sebagai medan mati syahid. Apatah lagi, perginya seorang pemuda tanpa mahir bahasa arab a’mmi (bahasa pasar) dan penguasaan strategi ketenteraan yang berbeza mengikut geografi menambah lagi kemungkinan dia dibunuh. Pergi tanpa pengetahuan keluarga akan memberi kesusahan kepada mereka untuk mencari pemuda yang hilang. Jika pemuda itu meninggal dunia tentu jasadnya ingin dituntut oleh ahli keluarga. Ini melibatkan kos dan masa. Selain itu, kesedihan dan trauma keluarga yang kehilangan ahlinya juga merupakan sesuatu hal yang menyusahkan ditambah jika ada urusan yang belum selesai (hutang, kontrak, pinjaman dsb).

Menjiwai dakwah sebagai jihad

Hidup sebagai seorang syahid seperti hidupnya para sahabat Rasulullah SAW lebih sukar daripada terus terjun ke medan perang bagi mendapatkan mati syahid. Para sahabat berdakwah melalui perbuatan dan nasihat yang baik. Mereka hidup penuh dengan kesungguhan dalam beragama, menegakkan syariat Islam dalam kehidupan seharian, berakhlak mulia, menjaga amal ibadat, melebihkan saudaranya dan mengorbankan harta, jiwa dan tenaga mereka untuk Islam sebelum dikurniakan syahid di medan ‘jihad perang’. Ini adalah contoh manifestasi keimanan dan ciri-ciri pendakwah yang memahami erti jihad sebenar pada konteks yang betul. Mereka ialah orang-orang yang hidup sebagai syahid sebelum sampai pada waktunya. Memahami tujuan dan matlamat sebenar jihad dalam konteks di Malaysia menjadikan seorang pemuda itu jelas ideologinya dan mulia hidupnya walaupun dia bukan berada di medan perang.

Advertisements