Akhirnya, ayah pergi…

[tag(usrah): musibah itu sebahagian daripada tarbiyah]

Waktu ayah bujang berumur sekitar 20-an

Waktu ayah bujang berumur sekitar 20-an

Saya tidak begitu rapat dengan ayah sehinggalah ayah jatuh sakit (strok). Sejak umur 13 tahun, tinggal di sekolah asrama, kemudian sebaik mendapat keputusan SPM terus dihantar ke luar negara. Kemudian sambung belajar di negeri lain sehinggalah ayah jatuh sakit.

Kenangan sebelum berlepas ke Mesir ketika  ayah masih sihat.

Kenangan sebelum berlepas ke Mesir ketika ayah masih sihat, 12 Julai 2012.

5/1/2013 Strok pertama. Lumpuh sebelah kanan badan.

5/1/2013 Strok pertama. Lumpuh sebelah kanan badan.

Saya menangguhkan pelajaran sarjana saya di UiTM Shah Alam. 5 Januari 2013, sejak dari hari pertama ayah mendapat serangan strok pertama saya berada di sisinya. Sebahagian anggota badan belah kanannya lumpuh dan ayah tak mampu lagi untuk bertutur sempurna. Kali ini, saya betul-betul duduk dan tinggal bersamanya di rumah namun dalam keadaan menjaga ayah tidak lagi sihat. Berbeza, orang tua yang sakit perasaannya lebih mudah beremosi. Saya baru belajar untuk menerima itu dan menghadapinya sendiri tidak semudah seperti yang diungkapkan. Tidak, tidak semudah dengan hanya ungkapan sabar. Tetapi itulah perkataan yang rasanya seperti buah pahit yang mesti ditelan bukan kerana naluri sebagai seorang anak tetapi sebagai hamba Allah dan pengikut umat Nabi Muhammad SAW.

Sebulan selepas strok yang pertama.

Sebulan selepas strok yang pertama.

Ayah semasa sihat beberapa bulan sebelum strok kedua.

Ayah semasa sihat beberapa bulan sebelum strok kedua.

Alhamdulillah, sedikit demi sedikit, saya ajar ayah untuk kembali berjalan supaya dapat menguruskan dirinya dan solat. Ajar dia bangun, ajarnya berdiri, ajarnya menggunakan tongkat dan akhirnya ayah mampu berjalan sendiri menggunakan tongkat walaupun kaki kanannya masih berlum kuat namun memadai untuk berjalan. Selama ayah sakit, saya dan mak berikhtiar untuk membawa ayah berurut kampung. Kemana sahaja orang beritahu kami pergi. Ke Melaka, Jelebu, Pahang dan yang terdekat kampung saya sendiri, saya bawa. Letih, ya memang memenatkan tapi demi ayah saya sanggupkan juga walaupun sebenarnya tidaklah sesusah mana nak dibandingkan pengorbanannya menjaga kami 8 beradik semasa kecil dahulu. Selama itu juga saya dan mak berdikari untuk hidup tanpa keringat ayah lagi. Tiada lagi orang yang akan membeli barangan rumah basah mahupun kering sejak ayah sakit.

Pemeriksaan selepas disyaki strok kedua.

Pemeriksaan selepas disyaki strok kedua.

13/3/2014 - Di hospital selepas disahkan mendapat strok kedua.

13/3/2014 – Di hospital selepas disahkan mendapat strok kedua.

12 Mac 2014 ayah mendapat strok kedua. Kali ini lebih teruk, kerana ayah tidak lagi mampu berjalan. Hanya terbaring sahaja di katil. Imbangkan badan untuk duduk juga tidak mampu. Setelah sebulan, 10 April 2014, ayah mendapat strok ke-3. Keadaannya tenat kerana strok yang ke-3 ini ialah strok berdarah. Ketika itu ayah hanya tidur sahaja dan tidak sedarkan diri. Doktor membuat jangkaan ayah mungkin ada 4-5 hari lagi dengan keadaan pendarahan di otaknya akan terus membengkak. Kami sekeluarga pasrah dengan ketentuan ini kerana kemerosotan kesihatan ayah telah menunjukkan tanda-tandanya.

Di hospital K.Pilah setelah disahkan mendapat strok ke-3.

Di hospital K.Pilah setelah disahkan mendapat strok ke-3.

Selepas seminggu strok ke-3

Selepas seminggu strok ke-3

28 April 2014, pagi Isnin ketika semua orang sedang nyenyak tidur, ayah dipanggil oleh Allah SWT. Pada pagi beberapa minit sebelum subuh mak mengejutkan saya daripada tidur dengan suara yang cemas untuk melihat keadaan ayah. Saya memeriksa nadinya dan perkataan pertama saya katakan pada mak, Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiuun. Mak menitiskan air matanya kesedihan. Saya menenangkan mak untuk bersabar dan menyuruh untuk bersiap dan solat subuh sebelum saya keluar memberitahu pada jiran terdekat dan klinik. Pada jam 12pm saya bersama 2 orang abang memandikan jenazah ayah buat kali terakhir. Ayah kemudiannya disolatkan dan disemadikan selepas Zuhr. Dan akhirnya, ayah pergi meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya. Semoga ayah tenang di sana.

Ketika ayah dikafankan. Alhamdulillah, rambut dan mukanya sempat saya cukur sehari sebelum ayah pergi.

Ketika ayah dikafankan. Alhamdulillah, rambut dan mukanya sempat saya cukur sehari sebelum ayah pergi.

Kenyataan yang pahit ini mesti ditelan dan kehidupan mesti diteruskan. Nabi Muhammad SAW tidak berhenti berjuang selepas bapa saudara kesayangannya Abu Thalib meninggal dunia. Kemudian isterinya saidatina Khadijah RA pula pergi tetapi Nabi Muhammad SAW terus memperjuangkan apa yang telah diamanahkan oleh Allah. Begitu juga Saiyidina Abu Bakar RA dan para sahabat RA. Setelah nabi wafat, tiada masa untuk mereka bersedih panjang. Islam mesti ditegakkan dan kebatilan perlu dihapuskan. Apa pula jika nak dibandingkan dengan saya. Ayah pergi hanyalah sebagai muhasabah bahawa satu hari nanti saya akan bersama-sama ayah juga. Cuma masanya tidak diketahui bila. Semoga dikurniakan syahid, insyaAllah.

28/4/2014 ayah disemadikan di tanah perkuburan Felda Palong 5

28/4/2014 ayah disemadikan di tanah perkuburan Felda Palong 5

Haji Jamaludin Bin Haji Ab. Kudus

20 November 1947 – 28 April 2014

Semoga Allah memberi ke ampunan dan mencucuri rahmat ke atas roh ayah, dilapangkan kuburnya, dimuliakan kedatangannya, dimaafkan kesalahannya dan diterangi cahaya serta ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh, insyaAllah. Terimalah doa daripada anaknya ya Allah!