Di atas nama Islam

[tag(umum): menjelaskan matlamat dan cara]

Sesungguhnya-Islam-Yang-Akan-Datang-Adalah-Islam-Sunni

Di atas nama Islam kita bersatu dan atas nama Islam kita berbeza. Islam mengiktiraf berbezaan dalam ruang lingkup kesatuan. Ertinya, kita dibenarkan berbeza atas dasar mencapai matlamat yang satu dengan cara yang pelbagai. Oleh yang demikian, di atas nama Islam juga kita mengecapi nilai estetika agama tanpa mengubah apa yang telah diwariskan dengan sewenang-wenangnya. Itu satu hal.

Di atas nama Islam juga kita menghirup agama dan menghembuskan kembali demi menjaga kelangsungan agama ini dalam kehidupan. Kita tidak hidup untuk diri sendiri. Keputusan dan pilihan yang kita buat seharusnya bersandarkan di atas nama Islam. Jika disandarkan pada kepentingan diri, peribadi apatah lagi dunia seharusnya kita masih belum lagi menggarap kehidupan beragama di atas nama Islam.

Di atas nama Islam juga kita berjuang untuk meneruskan hidup demi kesejahteraan dunia dan akhirat. Perjuangan di atas nama Islam itu sungguh indah. Agama Islam itu lebih indah dari cerita cinta yang indah dan romantik. Ia juga lebih indah daripada segala paras dan rupa. Ia juga lebih indah daripada mahligai-mahligai atau kemewahan yang terbentang di dunia. Dunia ibarat laut, kita berjuang berenang merentasinya di atas nama Islam. Kita tidak tenggelam di dalamnya.

Lalu, apa yang kita faham di atas nama Islam. Kefahaman itu tiada pada aku, kamu dan semua daripada kita selagi kita tidak berbicara, beramal dan bertekad di atas nama Islam.

Advertisements

Jalan Bahagia

[tag(umum): masa terus berlalu ketika kebahagiaan tidak pernah berhenti untuk dinikmati]

Forest

Salah satu kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada manusia ialah membuat pilihan. Binatang tiada kebebasan untuk membuat pilihan seperti lembu tidak boleh memilih untuk memakan ayam kerana telah ditetapkan oleh Allah untuk hanya memakan rumput. Tetapi tidak untuk manusia. Kita punyai akal, hati, fikiran, panca indera, anggota badan  dan semua ini adalah kelebihan yang diberikan oleh Allah dalam membantu manusia membuat pilihan.

Namun, kadangkala kita hairan. Mengapa ada manusia yang sanggup menghabiskan duitnya semata-mata untuk membeli sekeping tiket ke panggung cerita seram yang menakutkan dan bahkan bakal menghantui seluruh hidupnya. Walhal, di tangannya ada pilihan untuk menonton cerita-cerita komedi jenaka yang boleh menggembirakan dan membahagiakan hidupnya. Justeru fahamlah kita di sini, sesungguhnya, kebahagiaan juga merupakan sebuah pilihan!

Jalan menuju kebahagiaan sudah dibuka oleh Allah seluas-luasnya, seluas laut dipandang dan seluas langit yang terbentang. Tetapi, masih ramai lagi di kalangan manusia memilih untuk masuk ke lubang-lubang tikus yang hanya menunggu masa untuk dipatut dan dimakan ular. Apakah terlalu kecil rahmat Allah dibandingkan dengan nikmat dunia yang sementara ini. Masih ada manusia yang tergamak membelakangkan Tuhannya disebalik segala nikmat yang telah diberikan padanya.

Lalu, ada juga manusia yang memilih untuk menjauh daripada Tuhannya. Sepertinya, nikmat yang pernah dikecapi itu seakan terlupakan, atas sebab dirinya telah selesa menapaki jalan sengsara yang damai, nyaman dan membahagiakan. Sehingga kelak pada akhirnya dia berjumpa dengan lubang neraka yang sedang menunggu. Ketika itu tiada lagi jalan untuk berpatah semula. Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbangi akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi jalan petunjuk kepada orang-orang yang fasik. 9:24.

Benarlah, kata-kata Allah yang maha agung.

Penderaan Agama dan Cinta

[tag(umum): Ulasan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck]

kapal

Islam tidak pernah menghalang cinta kerana Islam sendiri terbina atas dasar cinta. Sebagai seorang Muslim, kita wajib meletakkan kecintaan kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW, seterusnya membawa kepada pengamalan-pengamalan hidup yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW melalui Al-quran dan As-sunnah. Namun Islam tidak menghalang cinta sesama manusia bahkan Islam mengangkat cinta sesama manusia ke martabat yang tinggi mengikut syarak. Filem Tenggelamnya kapal Van Der Wicjk membawa penontonnya menyoroti kisah cinta yang terhalang yang bertentangan dengan prinsip Islam.

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck bermula dengan sebuah kisah seorang pemuda yatim piatu bernama Zainuddin yang berasal dari Makassar merantau di tempat orang, Batipuh. Di sana dia bertemu wanita idamannya, Hayati penuh dengan kesopanan dan ketimuran yang hidup secara bersederhana. Tetapi konflik berlaku apabila Hayati yang berketurunan Minang ini dihalang cintanya oleh keluarganya yang sarat menjunjung adat Minangkabau kerana Zainuddin bukan sebahagian daripada mereka. Pertembungan adat dan cinta berlaku. Lalu, Zainuddin diusir dari Batipuh dan dia menuju ke Padang Panjang. Keluarga Hayati pula merancang mempertemukan Hayati dengan seorang pemuda bernama Aziz yang berketurunan Minang, bekerja sebagai pegawai atasan Belanda yang juga menetap di Padang Panjang. Kehidupan Aziz berkiblatkan budaya barat hasil pengaruh daripada pekerjaanya. Mereka kemudiannya bernikah sehingga membuatkan Zainuddin kecewa yang teramat sangat kerana terasa seperti dikhianati oleh cinta Hayati seterusnya membawa dirinya ke tempat lain. Dia membina kehidupan baru ditemani sahabat serta pembantunya Abang Muluk dengan menjadikan penulisan sebagai pekerjaan utamanya. Dalam masa yang singkat, karya penulisannya laris dijual dan berjaya mengangkat namanya menjadi orang besar di Sumatera. Di situ juga Hayati dan suaminya Aziz berpindah kerana Aziz mendapat pertukaran kerja. Di Sumatera, musibah menimpa keluarga Aziz yang dikelilingi oleh hutang berjudi menyebabkan Aziz dan Hayati menjadi sebatang kara sehingga terpaksa mengharap belas daripada Zainuddin untuk menumpang di rumahnya. Aziz kemudiannya mengambil keputusan untuk keluar dari Sumatera untuk mencari pekerjaan baru dan meninggalkan Hayati di rumah Zainuddin. Tidak lama setelah kepergian Aziz, berita malang sampai kepada Hayati bahawa Aziz telah mati kerana membunuh diri. Selepas pemergian Aziz, Zainuddin dan Hayati berperang perasaan sesama sendiri di bawah satu bumbung tetapi Zainuddin masih tidak dapat menerima Hayati oleh kerana kekecewaannya dikhianati dahulu masih lagi terpalit pahit. Hayati dihantar pulang ke Batipuh semula oleh Zainuddin tetapi malangnya Hayati tidak sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat kerana kapal yang menghantarnya karam di tengah lautan. Zainuddin menerima pemergian Hayati dengan redha dan meneruskan kehidupannya selepas itu sebagai kebangkitan kali kedua.

tumblr_ngr9i9cFjM1qifs3zo1_1280

Filem yang diinspirasikan oleh novel ini sangat menarik kerana memberi seribu pengajaran kepada penonton atau pembacanya. Namun, saya lebih mengagumi penulis novelnya iaitu Haji Abdul Malik Karim Amrullah ataupun lebih dikenali sebagai Buya Hamka. Buya Hamka telah membuktikan para pendakwah tidak baku dan kaku. Siapa tidak kenal ketokohan beliau sebagai Ulama’ tersohor kelahiran Makassar, penulisan keilmuannya menggugah sanubari anak muda untuk membuat pembaharuan dalam perjuangan memahami Islam yang dikala zamannya masyarakat tenggelam di dasar adat, budaya dan penjajahan. Begitu halus teguran Buya Hamka dalam memperbetulkan kefahaman orang-orang marhaen terhadap Islam. Tambahan pula, siapa sangka seorang ulama’ ini yang tangan kanannya telah mengarang tafsir Al-quran ulung (tafsir Al-Azhar) yang sarat dengan komentar-komentar yang kritis sesuai dengan zaman dan rakyat nusantara ketika itu. Tidak sekadar itu, di tangan kirinya pula beliau juga mengarang novel-novel bertemakan cinta yang sarat dengan mesej cinta dan perjuangan dalam seni sastera yang halus membetulkan kefahaman masyarakat merentasi budaya dan bangsa terhadap Islam. Tokoh ini sangat kritis penulisannya dan ianya membuktikan Buya Hamka memberi contoh kepada kita bahawa menjadi pendakwah sebenar bukanlah sekadar menjadi pendakwah jemputan. Apabila dijemput dia hadir, apabila sendirian dia membuat duit dari agamanya.

Novel-novel Buya Hamka menegur pemahaman kolot masyarakat dalam karya seninya yang tersirat mesej-mesej agama. Antara pengajaran yang boleh saya ambil daripada jalan cerita filem ini ialah:

  • Jalan hidup yang tidak bertentangan dengan syariat Islam lebih agung daripada kefanatikan adat yang memboleh membawa kepada kerosakan masyarakat dan akidah
  • Allah tidak memandang seseorang melalui kekayaan, keturunan, bangsa atau pangkat tetapi melalui tingkatan taqwa
  • Hidup ialah perjuangan yang tidak boleh dimatikan hanya dengan masalah-masalah yang kecil.
  • Berusaha dan bertawakkal kepada Allah, sesungguhnya Allah akan menunjukkan jalan kejayaan
  • Jangan menilai manusia dari luaran fizikal sahaja seperti kecantikan, harta tetapi nilailah dari is hati, budi dan yang paling penting agamanya
  • Merantaulah supaya dapat mengambil pelajaran daripada dunia yang luas dan hikmah-hikmah yang ada di tempat orang untuk dipelajari
  • Cinta itu memerlukan kesetiaan bukan kasih sayang semata-mata
  • Jangan memungkiri janji, kerana janji akan memakan diri sendiri
  • Wanita harus dibela keadilan dan kesaksamaan haknya seperti yang telah diberikan oleh Islam

Peradaban masyarakat ketika ini semakin terhakis daripada nilai-nilai keagamaan terutamanya masyarakat Islam sendiri. Seperti Hamka yang masuk ke dalam masyarakat, menyelami masalah utamanya kemudian memperbetulkan daripada akar umbinya menjadi teladan yang baik kepada pendakwah untuk dicontohi. Menjadi seorang da’ie atau pendakwah, bukan sekadar menghukum haram dan halal dan berselisih atas perkara yang kecil seperti isu sentuh anjing. Pendakwah harus membangkitkan kefahaman yang menyeluruh dalam masyarakat melalui pendidikan berasaskan nilai dan adab Islam dan bukannya berasaskan sentimen. Kita harus mengisi jurang kekosongan dalam membawa peradaban Islam ke dalam masyarakat dengan berhubung, mewujudkan silaturrahim, menunjukkan nilai, akhlak dan budi yang baik. Kemudiannya mendidik dan memperbetulkan segenap aspek kehidupan mengikut syariat Islam dengan sehabis mampu, Seterusnya memimpin masyarakat untuk hidup bertunjangkan ajaran Islam sebagai hamba dan juga sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Semoga Allah sentiasa merahmati negara kita, insyaAllah.

Kerusi

Nota: Artikel ini di ‘kitarsemula’ daripada blog lama yang berkisarkan tentang isu semasa penggunaan nama Allah oleh bukan Islam di Malaysia.

[tag: ulama dan politik]

Lazimnya, kita meraikan tetamu dengan mendapatkan mereka tempat duduk. Tentu lebih selesa bagi kita untuk berbual dengan tetamu dengan keadaan duduk berbanding berdiri. Kerusi yang empuk lebih selesa. Sofa tentunya menjadi pilihan.

Namun, definisi kerusi menjadi berbeza di zaman kita. Ianya menjadi simbolik dan polemik semasa, tidak lagi menjadi keraian bagi tetamu untuk hanya duduk, namun tetamu dan tuan rumah pula sama-sama merebut untuk mendapatkan kerusi. Siapakah yang mendefinisikan kerusi sehingga maksudnya menjadi perkelahian antara kita? Apakah benar kerusi itu mempunyai kuasa atau kita sahaja yang taksub menjadikan ianya berkuasa dengan menghambakan kepada kerusi? Continue reading