Harga segulung ijazah

[tag(umum): hidup ialah sebuah ujian]

KTjo5Kz7c-

Kalau ijazah boleh dibeli tentu sahaja ramai orang di dunia ini sudah punyai ijazah. Realitinya tidak begitu. Ijazah dimiliki dengan penat lelah, peluh dan air mata. Ada yang 3 tahun dan ada juga yang bertarung sehingga 5 ke 6 tahun untuk lulus bagi meraih segulung ijazah. Pasti ramai yang bersetuju dengan kenyataan ini.

Barang diingat, ijazah bukan sekadar tiket mendapat pekerjaan. Tetapi ijazah ialah sijil pendidikan yang menjadikan kita manusia berguna untuk masyarakat. Memberi apa yang kita miliki. Baik daripada sudut ilmu, pengalaman, pemerhatian mahupun perasaan. Jika ijazah menjadi tiket untuk mengumpul harta, kekayaan dan pangkat, ianya sia-sia.

Kata Allahyarham Hamka*, ulama Minang yang juga punyai ijazah, beliau hidup merantau menuntut ilmu dan akhirnya pulang berbakti memperbetulkan kejahilan masyarakat dan pemerintah:

Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau hidup untuk bekerja, kera juga bekerja.

Kita punyai tujuan yang besar dan matlamat yang jauh dalam hidup. Hidup mulia atau mati syahid. Dan ianya diukur di sisi Allah bukan di mata manusia.

Sandarkanlah kejayaan segulung ijazah yang kita miliki dengan harga penat lelah, peluh dan air mata kita, dimana modal beliannya dipinjamkan daripada tuhan yang menaungi kerajaan langit dan bumi, Allah S.W.T.

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini,: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia: dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (surga).” [Ali Imran 3: 14]

Selamat bergraduasi.

*Nama penuhnya ialah Haji Abdul Malik Karim Amrullah

Universiti Terbaik di Dunia

[tag(umum): pendidikan bermula dari rumah]

universiti-tarbiyah

“Ya syabab!” (Wahai orang muda!)…

Seorang syeikh melaung di hadapan pemuda-pemudi.

“Apakah kamu tahu apa universiti yang terbaik di dunia?” Sambung syeikh itu lagi.

“Universiti Oxford! Universiti Harvard! Cambridge!” Laung suara anak-anak muda memecah kesunyian.

“Lagi?” Syeikh menyambung.

“Al-azhar!” Teka seorang lagi anak muda. Ada yang menyambut dengan tawa.

Syeikh mendiam sebentar, menanti jawapan yang lain. Rata-rata memikirkan tiada lagi universiti yang lebih baik selain apa yang telah disebutkan. Syeikh akhirnya menyambung bicaranya.

“Apakah kamu tahu, universiti terbaik itu ialah rumahmu”

Semua terdiam memikirkan apa di sebalik jawapan itu.

“Apa maksud syeikh?” Balas seorang pemuda.

“Maksudku, Universiti yang terbaik itu ialah rumah yang diuruskan oleh seorang isteri yang solehah. Di situlah ‘universiti’ terbaik yang akan melahirkan dan mendidik anak-anakmu. Menjadi aset buatmu ke syurga. Daftarkanlah anak-anakmu di universiti terbaik itu. Hal itu bakal menjadi tanggungjawabmu nanti. Jika tidak penyesalan akan menyusurimu sehingga ke hari akhirat.”

Syeikh meneruskan bicara dengan penuh hikmah.

“Pernahkah kamu mendengar kisah khalifah Umar RA?”

“Tidak” Sahut hadirin yang rata-ratanya anak muda beliawan. Mereka kini dalam fasa meniti hidup mengejar masa hadapan. Mereka tidak tahu kisah Khalifah Umar RA mana yang dimaksudkan.

Seorang laki-laki telah datang mengadu kepada khalifah Umar RA perihal anaknya yang dianggap berlaku durhaka kepadanya.

Tetapi si anak berkata kepada Khalifah Umar RA.

“Wahai Amirul Mu’minin, bukankah seorang anak memiliki hak atas ayahnya?” Tanya anak itu.

“Benar” Jawab Khalifah Umar RA.

“Hak apakah itu, wahai Amirul Mu’minin?” Soal anak itu lagi.

“Ia harus mencarikan seorang ibu yang solehah untuknya, memberikan nama yang bagus dan mengajarkannya Al-Qur’an.” Ringkas jawab Khalifah Umar RA.

“Wahai Amirul Mu’minin, sesungguhnya ayahku tidak pernah mengerjakan satupun dari hal-hal yang engkau sebutkan tadi. Ibuku adalah bekas hamba, yang beragama Majusi. Dia memberikanku nama yang buruk, dia juga tidak pernah mengajarkan Al-Qur’an walaupun satu huruf.” Ungkap sang anak kepada Khalifah Umar RA.

Lalu Khalifah Umar RA berpaling kepada ayah si anak tersebut dan berkata,

“Engkau datang kepadaku mengadukan anakmu yang durhaka, padahal engkau telah mendurhakainya sebelum dia mendurhakaimu, engkau telah berbuat keburukan kepadanya sebelum dia melakukan keburukan itu kepadamu”

Lalu, syeikh mengakhiri ceritanya dengan senyuman.

“Pastikan! Daftarkan anak-anakmu di Universiti Terbaik di Dunia!”

…..

Sama-sama kita bermuhasabah dan memperbaiki amalan bagi yang belum atau sudah berumahtangga. Semoga kita dapat mendaftarkan generasi Islam akan datang di Universiti Terbaik di Dunia dan melahirkan insan-insan yang hebat dalam memperjuangkan Islam.

Di atas nama Islam

[tag(umum): menjelaskan matlamat dan cara]

Sesungguhnya-Islam-Yang-Akan-Datang-Adalah-Islam-Sunni

Di atas nama Islam kita bersatu dan atas nama Islam kita berbeza. Islam mengiktiraf berbezaan dalam ruang lingkup kesatuan. Ertinya, kita dibenarkan berbeza atas dasar mencapai matlamat yang satu dengan cara yang pelbagai. Oleh yang demikian, di atas nama Islam juga kita mengecapi nilai estetika agama tanpa mengubah apa yang telah diwariskan dengan sewenang-wenangnya. Itu satu hal.

Di atas nama Islam juga kita menghirup agama dan menghembuskan kembali demi menjaga kelangsungan agama ini dalam kehidupan. Kita tidak hidup untuk diri sendiri. Keputusan dan pilihan yang kita buat seharusnya bersandarkan di atas nama Islam. Jika disandarkan pada kepentingan diri, peribadi apatah lagi dunia seharusnya kita masih belum lagi menggarap kehidupan beragama di atas nama Islam.

Di atas nama Islam juga kita berjuang untuk meneruskan hidup demi kesejahteraan dunia dan akhirat. Perjuangan di atas nama Islam itu sungguh indah. Agama Islam itu lebih indah dari cerita cinta yang indah dan romantik. Ia juga lebih indah daripada segala paras dan rupa. Ia juga lebih indah daripada mahligai-mahligai atau kemewahan yang terbentang di dunia. Dunia ibarat laut, kita berjuang berenang merentasinya di atas nama Islam. Kita tidak tenggelam di dalamnya.

Lalu, apa yang kita faham di atas nama Islam. Kefahaman itu tiada pada aku, kamu dan semua daripada kita selagi kita tidak berbicara, beramal dan bertekad di atas nama Islam.

Istikharah

[tag(umum): beristikharahlah pada setiap urusan]

Saudara,

Istikharah bukan untuk cinta tetapi

Istikharah itu kerana cinta

Manusia itu jahil sifatnya

Kita berdoa dan kita beristikharah

Kita berdoa dan kita beristikharah

Kita berdoa dan kita beristikharah

Ya atau tidak

Betul atau salah

Itu bukan natijahnya

Kerana natijahnya sudah tergambar

Kepada hamba yang berdoa

memohon

merayu

untuk memperoleh keredhaanNya

dan kita beristikharah kerana cinta kepada-Nya

yang maha menetapkan

pada segala apa sahaja urusan hambanya

Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu

dan

boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu

Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui

2:216

Benarlah kata-kata Tuhan yang Maha Agung

Jalan Bahagia

[tag(umum): masa terus berlalu ketika kebahagiaan tidak pernah berhenti untuk dinikmati]

Forest

Salah satu kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada manusia ialah membuat pilihan. Binatang tiada kebebasan untuk membuat pilihan seperti lembu tidak boleh memilih untuk memakan ayam kerana telah ditetapkan oleh Allah untuk hanya memakan rumput. Tetapi tidak untuk manusia. Kita punyai akal, hati, fikiran, panca indera, anggota badan  dan semua ini adalah kelebihan yang diberikan oleh Allah dalam membantu manusia membuat pilihan.

Namun, kadangkala kita hairan. Mengapa ada manusia yang sanggup menghabiskan duitnya semata-mata untuk membeli sekeping tiket ke panggung cerita seram yang menakutkan dan bahkan bakal menghantui seluruh hidupnya. Walhal, di tangannya ada pilihan untuk menonton cerita-cerita komedi jenaka yang boleh menggembirakan dan membahagiakan hidupnya. Justeru fahamlah kita di sini, sesungguhnya, kebahagiaan juga merupakan sebuah pilihan!

Jalan menuju kebahagiaan sudah dibuka oleh Allah seluas-luasnya, seluas laut dipandang dan seluas langit yang terbentang. Tetapi, masih ramai lagi di kalangan manusia memilih untuk masuk ke lubang-lubang tikus yang hanya menunggu masa untuk dipatut dan dimakan ular. Apakah terlalu kecil rahmat Allah dibandingkan dengan nikmat dunia yang sementara ini. Masih ada manusia yang tergamak membelakangkan Tuhannya disebalik segala nikmat yang telah diberikan padanya.

Lalu, ada juga manusia yang memilih untuk menjauh daripada Tuhannya. Sepertinya, nikmat yang pernah dikecapi itu seakan terlupakan, atas sebab dirinya telah selesa menapaki jalan sengsara yang damai, nyaman dan membahagiakan. Sehingga kelak pada akhirnya dia berjumpa dengan lubang neraka yang sedang menunggu. Ketika itu tiada lagi jalan untuk berpatah semula. Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbangi akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi jalan petunjuk kepada orang-orang yang fasik. 9:24.

Benarlah, kata-kata Allah yang maha agung.

Penderaan Agama dan Cinta

[tag(umum): Ulasan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck]

kapal

Islam tidak pernah menghalang cinta kerana Islam sendiri terbina atas dasar cinta. Sebagai seorang Muslim, kita wajib meletakkan kecintaan kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW, seterusnya membawa kepada pengamalan-pengamalan hidup yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW melalui Al-quran dan As-sunnah. Namun Islam tidak menghalang cinta sesama manusia bahkan Islam mengangkat cinta sesama manusia ke martabat yang tinggi mengikut syarak. Filem Tenggelamnya kapal Van Der Wicjk membawa penontonnya menyoroti kisah cinta yang terhalang yang bertentangan dengan prinsip Islam.

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck bermula dengan sebuah kisah seorang pemuda yatim piatu bernama Zainuddin yang berasal dari Makassar merantau di tempat orang, Batipuh. Di sana dia bertemu wanita idamannya, Hayati penuh dengan kesopanan dan ketimuran yang hidup secara bersederhana. Tetapi konflik berlaku apabila Hayati yang berketurunan Minang ini dihalang cintanya oleh keluarganya yang sarat menjunjung adat Minangkabau kerana Zainuddin bukan sebahagian daripada mereka. Pertembungan adat dan cinta berlaku. Lalu, Zainuddin diusir dari Batipuh dan dia menuju ke Padang Panjang. Keluarga Hayati pula merancang mempertemukan Hayati dengan seorang pemuda bernama Aziz yang berketurunan Minang, bekerja sebagai pegawai atasan Belanda yang juga menetap di Padang Panjang. Kehidupan Aziz berkiblatkan budaya barat hasil pengaruh daripada pekerjaanya. Mereka kemudiannya bernikah sehingga membuatkan Zainuddin kecewa yang teramat sangat kerana terasa seperti dikhianati oleh cinta Hayati seterusnya membawa dirinya ke tempat lain. Dia membina kehidupan baru ditemani sahabat serta pembantunya Abang Muluk dengan menjadikan penulisan sebagai pekerjaan utamanya. Dalam masa yang singkat, karya penulisannya laris dijual dan berjaya mengangkat namanya menjadi orang besar di Sumatera. Di situ juga Hayati dan suaminya Aziz berpindah kerana Aziz mendapat pertukaran kerja. Di Sumatera, musibah menimpa keluarga Aziz yang dikelilingi oleh hutang berjudi menyebabkan Aziz dan Hayati menjadi sebatang kara sehingga terpaksa mengharap belas daripada Zainuddin untuk menumpang di rumahnya. Aziz kemudiannya mengambil keputusan untuk keluar dari Sumatera untuk mencari pekerjaan baru dan meninggalkan Hayati di rumah Zainuddin. Tidak lama setelah kepergian Aziz, berita malang sampai kepada Hayati bahawa Aziz telah mati kerana membunuh diri. Selepas pemergian Aziz, Zainuddin dan Hayati berperang perasaan sesama sendiri di bawah satu bumbung tetapi Zainuddin masih tidak dapat menerima Hayati oleh kerana kekecewaannya dikhianati dahulu masih lagi terpalit pahit. Hayati dihantar pulang ke Batipuh semula oleh Zainuddin tetapi malangnya Hayati tidak sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat kerana kapal yang menghantarnya karam di tengah lautan. Zainuddin menerima pemergian Hayati dengan redha dan meneruskan kehidupannya selepas itu sebagai kebangkitan kali kedua.

tumblr_ngr9i9cFjM1qifs3zo1_1280

Filem yang diinspirasikan oleh novel ini sangat menarik kerana memberi seribu pengajaran kepada penonton atau pembacanya. Namun, saya lebih mengagumi penulis novelnya iaitu Haji Abdul Malik Karim Amrullah ataupun lebih dikenali sebagai Buya Hamka. Buya Hamka telah membuktikan para pendakwah tidak baku dan kaku. Siapa tidak kenal ketokohan beliau sebagai Ulama’ tersohor kelahiran Makassar, penulisan keilmuannya menggugah sanubari anak muda untuk membuat pembaharuan dalam perjuangan memahami Islam yang dikala zamannya masyarakat tenggelam di dasar adat, budaya dan penjajahan. Begitu halus teguran Buya Hamka dalam memperbetulkan kefahaman orang-orang marhaen terhadap Islam. Tambahan pula, siapa sangka seorang ulama’ ini yang tangan kanannya telah mengarang tafsir Al-quran ulung (tafsir Al-Azhar) yang sarat dengan komentar-komentar yang kritis sesuai dengan zaman dan rakyat nusantara ketika itu. Tidak sekadar itu, di tangan kirinya pula beliau juga mengarang novel-novel bertemakan cinta yang sarat dengan mesej cinta dan perjuangan dalam seni sastera yang halus membetulkan kefahaman masyarakat merentasi budaya dan bangsa terhadap Islam. Tokoh ini sangat kritis penulisannya dan ianya membuktikan Buya Hamka memberi contoh kepada kita bahawa menjadi pendakwah sebenar bukanlah sekadar menjadi pendakwah jemputan. Apabila dijemput dia hadir, apabila sendirian dia membuat duit dari agamanya.

Novel-novel Buya Hamka menegur pemahaman kolot masyarakat dalam karya seninya yang tersirat mesej-mesej agama. Antara pengajaran yang boleh saya ambil daripada jalan cerita filem ini ialah:

  • Jalan hidup yang tidak bertentangan dengan syariat Islam lebih agung daripada kefanatikan adat yang memboleh membawa kepada kerosakan masyarakat dan akidah
  • Allah tidak memandang seseorang melalui kekayaan, keturunan, bangsa atau pangkat tetapi melalui tingkatan taqwa
  • Hidup ialah perjuangan yang tidak boleh dimatikan hanya dengan masalah-masalah yang kecil.
  • Berusaha dan bertawakkal kepada Allah, sesungguhnya Allah akan menunjukkan jalan kejayaan
  • Jangan menilai manusia dari luaran fizikal sahaja seperti kecantikan, harta tetapi nilailah dari is hati, budi dan yang paling penting agamanya
  • Merantaulah supaya dapat mengambil pelajaran daripada dunia yang luas dan hikmah-hikmah yang ada di tempat orang untuk dipelajari
  • Cinta itu memerlukan kesetiaan bukan kasih sayang semata-mata
  • Jangan memungkiri janji, kerana janji akan memakan diri sendiri
  • Wanita harus dibela keadilan dan kesaksamaan haknya seperti yang telah diberikan oleh Islam

Peradaban masyarakat ketika ini semakin terhakis daripada nilai-nilai keagamaan terutamanya masyarakat Islam sendiri. Seperti Hamka yang masuk ke dalam masyarakat, menyelami masalah utamanya kemudian memperbetulkan daripada akar umbinya menjadi teladan yang baik kepada pendakwah untuk dicontohi. Menjadi seorang da’ie atau pendakwah, bukan sekadar menghukum haram dan halal dan berselisih atas perkara yang kecil seperti isu sentuh anjing. Pendakwah harus membangkitkan kefahaman yang menyeluruh dalam masyarakat melalui pendidikan berasaskan nilai dan adab Islam dan bukannya berasaskan sentimen. Kita harus mengisi jurang kekosongan dalam membawa peradaban Islam ke dalam masyarakat dengan berhubung, mewujudkan silaturrahim, menunjukkan nilai, akhlak dan budi yang baik. Kemudiannya mendidik dan memperbetulkan segenap aspek kehidupan mengikut syariat Islam dengan sehabis mampu, Seterusnya memimpin masyarakat untuk hidup bertunjangkan ajaran Islam sebagai hamba dan juga sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Semoga Allah sentiasa merahmati negara kita, insyaAllah.

Suara hati Ulama’ agung

[tag(umum): melihat kebenaran dengan mata hati]

maxresdefault

Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi cukup terkenal dengan perjuangannya, keilmuannya, dan kelantangannya menegakkan manhaj ASWJ. Beliau juga merupakan Presiden Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam. Demikian, berkenaan dengan kes mahkamah rayuan melibatkan DSAI, Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi telah menulis sepucuk surat dengan penuh hikmah disulami kata-kata Allah untuk menjadi renungan kita. Saat membacanya, saya menitiskan air mata, kepada siapa lagi yang kita ingin dengari dan hayati kalam illahi yang benar kalau bukan daripada kata-kata orang-orang alim. Bacalah dengan mata hati kelunakan dan teguran yang disampaikan oleh beliau:

Segala puji bagi Allah, dan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarganya dan sahabat serta yang mengikuti petunjuk-Nya.

Malaysia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi kami, dan kami menaruh kasih sayang terhadapnya dengan hati yang jujur. Impian kami adalah untuk melihat Malaysia sebagai realisasi model Islam yang wasatiyyah, bertamadun, maju dan kontemporari. Semua itu tidak akan berlaku kecuali dengan perjuangan orang-orang ikhlas terdiri daripada anak-anak Malaysia, berusaha dan kerjasama berganding bahu, mereka yang amat ingin untuk menjayakan masa depan negara. Mereka saling bantu membantu sehingga berdiri tegak rakyat Malaysia seluruhnya.

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (As Saff: 4)

Adalah tidak patut bagi badan kehakiman bertukar menjadi pentas kebencian dan permusuhan politik atau wasilah bagi menjerat pihak lawan di dalam cengkaman kes-kes. Perkara demikian kebanyakannya bertujuan untuk mencalar peribadi melebihi tujuan mencari kebenaran.

Sesungguhnya kami percaya, kemajuan Malaysia, kebangkitan dan kekuatannya terpancar daripada ketinggian nilai-nilai kebebasan dan demokrasi, dan pengukuhan prinsip-prinsip kepelbagaian pemikiran serta persaingan yang mulia demi berkhidmat untuk negara yang berdaulat ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim terdiri daripada pemimpin ternama dengan sejarah dan pengalamannya serta perjuangannya, dan kesabaran serta ketabahannya sejak zaman usia muda sehingga ke hari ini. Anwar sewajarnya dilayani dengan jasa perjuangannya dan kerja gigihnya, bukannya menuduhnya dengan tuduhan-tuduhan batil yang tanpa asas.

Mahkamah sebelum ini membebaskannya daripada tuduhan itu. Tetapi jelas terdapat pihak yang yang merekayasa komplot dan tidak mempedulikan kebaikan negara dan masa depan rakyatnya.

Kami beriman dengan apa yang difirmankan Allah SWT tentang peristiwa Hadithat al Ifk:

Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang- orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri, dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.

Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Disebabkan kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.

(Surah An Nur 12-13)

Aku menyeru kepada saudara-saudaraku rakyat Malaysia supaya bekerjasama dan saling bantu-membantu. Aku berharap saudara-saudara di Malaysia menjauhkan diri daripada konflik-konflik yang tidak ada faedah di sebaliknya, malah ianya memudaratkan, tidak memberi manfaat, menghancurkan,  tidak membina, merosakkan dan tidak mendatangkan kebaikan.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. – 27 Oktober, 2014.

Semoga Allah memberi taufiq kepada tanahair tercinta ini menuju negara Rahmah dan bukan diisi dengan polemik sengketa politik berbaur niat jahat lagi busuk yang tiada berkesudahannya.