Istikharah

[tag(umum): beristikharahlah pada setiap urusan]

Saudara,

Istikharah bukan untuk cinta tetapi

Istikharah itu kerana cinta

Manusia itu jahil sifatnya

Kita berdoa dan kita beristikharah

Kita berdoa dan kita beristikharah

Kita berdoa dan kita beristikharah

Ya atau tidak

Betul atau salah

Itu bukan natijahnya

Kerana natijahnya sudah tergambar

Kepada hamba yang berdoa

memohon

merayu

untuk memperoleh keredhaanNya

dan kita beristikharah kerana cinta kepada-Nya

yang maha menetapkan

pada segala apa sahaja urusan hambanya

Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu

dan

boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu

Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui

2:216

Benarlah kata-kata Tuhan yang Maha Agung

Advertisements

Penderaan Agama dan Cinta

[tag(umum): Ulasan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck]

kapal

Islam tidak pernah menghalang cinta kerana Islam sendiri terbina atas dasar cinta. Sebagai seorang Muslim, kita wajib meletakkan kecintaan kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW, seterusnya membawa kepada pengamalan-pengamalan hidup yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW melalui Al-quran dan As-sunnah. Namun Islam tidak menghalang cinta sesama manusia bahkan Islam mengangkat cinta sesama manusia ke martabat yang tinggi mengikut syarak. Filem Tenggelamnya kapal Van Der Wicjk membawa penontonnya menyoroti kisah cinta yang terhalang yang bertentangan dengan prinsip Islam.

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck bermula dengan sebuah kisah seorang pemuda yatim piatu bernama Zainuddin yang berasal dari Makassar merantau di tempat orang, Batipuh. Di sana dia bertemu wanita idamannya, Hayati penuh dengan kesopanan dan ketimuran yang hidup secara bersederhana. Tetapi konflik berlaku apabila Hayati yang berketurunan Minang ini dihalang cintanya oleh keluarganya yang sarat menjunjung adat Minangkabau kerana Zainuddin bukan sebahagian daripada mereka. Pertembungan adat dan cinta berlaku. Lalu, Zainuddin diusir dari Batipuh dan dia menuju ke Padang Panjang. Keluarga Hayati pula merancang mempertemukan Hayati dengan seorang pemuda bernama Aziz yang berketurunan Minang, bekerja sebagai pegawai atasan Belanda yang juga menetap di Padang Panjang. Kehidupan Aziz berkiblatkan budaya barat hasil pengaruh daripada pekerjaanya. Mereka kemudiannya bernikah sehingga membuatkan Zainuddin kecewa yang teramat sangat kerana terasa seperti dikhianati oleh cinta Hayati seterusnya membawa dirinya ke tempat lain. Dia membina kehidupan baru ditemani sahabat serta pembantunya Abang Muluk dengan menjadikan penulisan sebagai pekerjaan utamanya. Dalam masa yang singkat, karya penulisannya laris dijual dan berjaya mengangkat namanya menjadi orang besar di Sumatera. Di situ juga Hayati dan suaminya Aziz berpindah kerana Aziz mendapat pertukaran kerja. Di Sumatera, musibah menimpa keluarga Aziz yang dikelilingi oleh hutang berjudi menyebabkan Aziz dan Hayati menjadi sebatang kara sehingga terpaksa mengharap belas daripada Zainuddin untuk menumpang di rumahnya. Aziz kemudiannya mengambil keputusan untuk keluar dari Sumatera untuk mencari pekerjaan baru dan meninggalkan Hayati di rumah Zainuddin. Tidak lama setelah kepergian Aziz, berita malang sampai kepada Hayati bahawa Aziz telah mati kerana membunuh diri. Selepas pemergian Aziz, Zainuddin dan Hayati berperang perasaan sesama sendiri di bawah satu bumbung tetapi Zainuddin masih tidak dapat menerima Hayati oleh kerana kekecewaannya dikhianati dahulu masih lagi terpalit pahit. Hayati dihantar pulang ke Batipuh semula oleh Zainuddin tetapi malangnya Hayati tidak sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat kerana kapal yang menghantarnya karam di tengah lautan. Zainuddin menerima pemergian Hayati dengan redha dan meneruskan kehidupannya selepas itu sebagai kebangkitan kali kedua.

tumblr_ngr9i9cFjM1qifs3zo1_1280

Filem yang diinspirasikan oleh novel ini sangat menarik kerana memberi seribu pengajaran kepada penonton atau pembacanya. Namun, saya lebih mengagumi penulis novelnya iaitu Haji Abdul Malik Karim Amrullah ataupun lebih dikenali sebagai Buya Hamka. Buya Hamka telah membuktikan para pendakwah tidak baku dan kaku. Siapa tidak kenal ketokohan beliau sebagai Ulama’ tersohor kelahiran Makassar, penulisan keilmuannya menggugah sanubari anak muda untuk membuat pembaharuan dalam perjuangan memahami Islam yang dikala zamannya masyarakat tenggelam di dasar adat, budaya dan penjajahan. Begitu halus teguran Buya Hamka dalam memperbetulkan kefahaman orang-orang marhaen terhadap Islam. Tambahan pula, siapa sangka seorang ulama’ ini yang tangan kanannya telah mengarang tafsir Al-quran ulung (tafsir Al-Azhar) yang sarat dengan komentar-komentar yang kritis sesuai dengan zaman dan rakyat nusantara ketika itu. Tidak sekadar itu, di tangan kirinya pula beliau juga mengarang novel-novel bertemakan cinta yang sarat dengan mesej cinta dan perjuangan dalam seni sastera yang halus membetulkan kefahaman masyarakat merentasi budaya dan bangsa terhadap Islam. Tokoh ini sangat kritis penulisannya dan ianya membuktikan Buya Hamka memberi contoh kepada kita bahawa menjadi pendakwah sebenar bukanlah sekadar menjadi pendakwah jemputan. Apabila dijemput dia hadir, apabila sendirian dia membuat duit dari agamanya.

Novel-novel Buya Hamka menegur pemahaman kolot masyarakat dalam karya seninya yang tersirat mesej-mesej agama. Antara pengajaran yang boleh saya ambil daripada jalan cerita filem ini ialah:

  • Jalan hidup yang tidak bertentangan dengan syariat Islam lebih agung daripada kefanatikan adat yang memboleh membawa kepada kerosakan masyarakat dan akidah
  • Allah tidak memandang seseorang melalui kekayaan, keturunan, bangsa atau pangkat tetapi melalui tingkatan taqwa
  • Hidup ialah perjuangan yang tidak boleh dimatikan hanya dengan masalah-masalah yang kecil.
  • Berusaha dan bertawakkal kepada Allah, sesungguhnya Allah akan menunjukkan jalan kejayaan
  • Jangan menilai manusia dari luaran fizikal sahaja seperti kecantikan, harta tetapi nilailah dari is hati, budi dan yang paling penting agamanya
  • Merantaulah supaya dapat mengambil pelajaran daripada dunia yang luas dan hikmah-hikmah yang ada di tempat orang untuk dipelajari
  • Cinta itu memerlukan kesetiaan bukan kasih sayang semata-mata
  • Jangan memungkiri janji, kerana janji akan memakan diri sendiri
  • Wanita harus dibela keadilan dan kesaksamaan haknya seperti yang telah diberikan oleh Islam

Peradaban masyarakat ketika ini semakin terhakis daripada nilai-nilai keagamaan terutamanya masyarakat Islam sendiri. Seperti Hamka yang masuk ke dalam masyarakat, menyelami masalah utamanya kemudian memperbetulkan daripada akar umbinya menjadi teladan yang baik kepada pendakwah untuk dicontohi. Menjadi seorang da’ie atau pendakwah, bukan sekadar menghukum haram dan halal dan berselisih atas perkara yang kecil seperti isu sentuh anjing. Pendakwah harus membangkitkan kefahaman yang menyeluruh dalam masyarakat melalui pendidikan berasaskan nilai dan adab Islam dan bukannya berasaskan sentimen. Kita harus mengisi jurang kekosongan dalam membawa peradaban Islam ke dalam masyarakat dengan berhubung, mewujudkan silaturrahim, menunjukkan nilai, akhlak dan budi yang baik. Kemudiannya mendidik dan memperbetulkan segenap aspek kehidupan mengikut syariat Islam dengan sehabis mampu, Seterusnya memimpin masyarakat untuk hidup bertunjangkan ajaran Islam sebagai hamba dan juga sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Semoga Allah sentiasa merahmati negara kita, insyaAllah.

Suara hati Ulama’ agung

[tag(umum): melihat kebenaran dengan mata hati]

maxresdefault

Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi cukup terkenal dengan perjuangannya, keilmuannya, dan kelantangannya menegakkan manhaj ASWJ. Beliau juga merupakan Presiden Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam. Demikian, berkenaan dengan kes mahkamah rayuan melibatkan DSAI, Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi telah menulis sepucuk surat dengan penuh hikmah disulami kata-kata Allah untuk menjadi renungan kita. Saat membacanya, saya menitiskan air mata, kepada siapa lagi yang kita ingin dengari dan hayati kalam illahi yang benar kalau bukan daripada kata-kata orang-orang alim. Bacalah dengan mata hati kelunakan dan teguran yang disampaikan oleh beliau:

Segala puji bagi Allah, dan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarganya dan sahabat serta yang mengikuti petunjuk-Nya.

Malaysia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi kami, dan kami menaruh kasih sayang terhadapnya dengan hati yang jujur. Impian kami adalah untuk melihat Malaysia sebagai realisasi model Islam yang wasatiyyah, bertamadun, maju dan kontemporari. Semua itu tidak akan berlaku kecuali dengan perjuangan orang-orang ikhlas terdiri daripada anak-anak Malaysia, berusaha dan kerjasama berganding bahu, mereka yang amat ingin untuk menjayakan masa depan negara. Mereka saling bantu membantu sehingga berdiri tegak rakyat Malaysia seluruhnya.

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (As Saff: 4)

Adalah tidak patut bagi badan kehakiman bertukar menjadi pentas kebencian dan permusuhan politik atau wasilah bagi menjerat pihak lawan di dalam cengkaman kes-kes. Perkara demikian kebanyakannya bertujuan untuk mencalar peribadi melebihi tujuan mencari kebenaran.

Sesungguhnya kami percaya, kemajuan Malaysia, kebangkitan dan kekuatannya terpancar daripada ketinggian nilai-nilai kebebasan dan demokrasi, dan pengukuhan prinsip-prinsip kepelbagaian pemikiran serta persaingan yang mulia demi berkhidmat untuk negara yang berdaulat ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim terdiri daripada pemimpin ternama dengan sejarah dan pengalamannya serta perjuangannya, dan kesabaran serta ketabahannya sejak zaman usia muda sehingga ke hari ini. Anwar sewajarnya dilayani dengan jasa perjuangannya dan kerja gigihnya, bukannya menuduhnya dengan tuduhan-tuduhan batil yang tanpa asas.

Mahkamah sebelum ini membebaskannya daripada tuduhan itu. Tetapi jelas terdapat pihak yang yang merekayasa komplot dan tidak mempedulikan kebaikan negara dan masa depan rakyatnya.

Kami beriman dengan apa yang difirmankan Allah SWT tentang peristiwa Hadithat al Ifk:

Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang- orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri, dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.

Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Disebabkan kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.

(Surah An Nur 12-13)

Aku menyeru kepada saudara-saudaraku rakyat Malaysia supaya bekerjasama dan saling bantu-membantu. Aku berharap saudara-saudara di Malaysia menjauhkan diri daripada konflik-konflik yang tidak ada faedah di sebaliknya, malah ianya memudaratkan, tidak memberi manfaat, menghancurkan,  tidak membina, merosakkan dan tidak mendatangkan kebaikan.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. – 27 Oktober, 2014.

Semoga Allah memberi taufiq kepada tanahair tercinta ini menuju negara Rahmah dan bukan diisi dengan polemik sengketa politik berbaur niat jahat lagi busuk yang tiada berkesudahannya.

Aib dan Nikmat

[tag(umum): hargai hidup dengan menghargai Islam]

photo

Aib itu memalukan bagi orang yang mengetahuinya. Nikmat itu membahagiakan bagi orang yang menghargainya.

Allah S.W.T. telah menutup aib kita di hadapan lautan penonton manusia. Jika terbongkar aib diri, sudah tentu manusia sanggup meludah ke muka kita dek kerana tersingkap segala macam kehinaan pada diri.

Namun, manusia lalai. Aib diri sendiri dibangga-banggakan dan nikmat pada diri disembunyikan. Manusia mula bertukar dari sebatang tubuh yang dimiliki roh suci manusiawi menjadi sekujur jasad yang penuh sifat kebinatangan. Hawa dan nafsu menjadi tujuan lalu Allah dikemudiankan.

Nilai diri sudah tiada lagi apabila hidup bertuhankan kepentingan diri dan nafsu. Memalukan jika hidup sebegini di sisi tuhan. Hitunglah nikmat diperolehi dan merendahlah. Kita dipandang mulia oleh orang hanya kerana Allah yang menutupi aib kita dan memberi nikmat kejayaan diri. Jangan sandarkan apa yang diperolehi kepada diri sendiri kerana jasad kita akhirnya suatu hari akan terkubur menyendiri.

Islam ialah nikmat. Diri ialah aib. Tuhan adalah matlamat. Hidup ialah alat. Korbankanlah “aku” untuk “kita”.

Kemenangan Syawal Anak-Anak Gaza

[tag(umum): kemenangan hakiki]

Perang Gaza-Israel dan Isu Palestin

Umum tahu perang di Gaza sudah berlanjutan hampir sebulan. Kuasa Zionis Israel Laknatullah memang sudah merancang serangan ini sedari awal lagi. Peperangan ini bukan bermula dengan berkisarkan penculikan 3 remaja Israel. Ianya berkisarkan dendam Zionis yang ingin melakukan ‘Ethnic Cleansing’ ke atas penduduk Gaza. Kuasa dunia tentu sahaja membisu bahkan menyokong tindakan yang dilakukan Israel kerana mereka mempunyai agenda yang sama iaitu melemahkan perpaduan umat Islam.

Isu Gaza bukan sekadar isu berkenaan dengan hak kemanusiaan atau ‘Human Rights’. Walaupun kita tahu, sejak dari dahulu lagi Israel sudah melanggar batas-batas hak kemanusiaan yang dikecam namun masih tiada lagi tindakan dikenakan atas mereka. Isu Gaza ialah isu Palestin dan kemuliaan Tanah Syam yang ada di dalamnya Masjid Al-Aqsa. Selagi ada Gaza, selagi itu Masjid Al-Aqsa masih dapat dipertahankan. Kerana pemimpin-pemimpin di Gaza sering sahaja melaungkan kepada penduduk mereka, ‘Sanusolli fil Quds’ bermaksud kemenangan di Gaza akan membebaskan Masjid Al-Aqsa (dan membolehkan mereka solat di sana).

Kemenangan Syawal Anak-Anak di Gaza

Syawal di Gaza tahun ini tentunya tak di sambut meriah seperti tahun sebelumnya apatah lagi jika nak dibandingkan dengan sambutan di Malaysia. Saya sempat berpengalaman menyambut Aidilfitri di Gaza pada Syawal 1433H ketika mengikuti rombongan Aqsa Syarif (A2G8). Anak-anak keluar bermain dengan pakaian baru, gula-gula dan senapang sebagai permainan mereka. Mereka mendapat hadiah daripada yang lebih tua dan kegembiraan terserlah di wajah anak-anak ini.

IMG_1521

Solat sunat Aidilfitri di Stadium Gaza, Gaza City.

Namun, sambutan syawal pada tahun 2014 tentu berbeza suasananya. Anak-anak berada dalam ketakutan dengan hujanan bom oleh Zionis Israel. Jika mereka berlindung di pelukan ibu-ibu mereka di rumah pun belum tentu dapat menyelamatkan mereka. Bahkan, tempat perlindungan di sekolah-sekolah yang didirikan UN juga dibom. Tiada lagi tempat selamat. Pada hari raya lepas, 10 kanak-kanak yang bermain-main di taman permainan menjadi mangsa serangan bom oleh Israel, 4 di antara mereka meninggal dunia.

Tetapi, sesuatu yang boleh difikirkan di sebalik penderitaan anak-anak Gaza yang meninggal dunia akibat serangan Israel. Mereka sedang bergembira menyambut Syawal di Syurga, di sisi Tuhan sekalian alam. Anak-anak ini masih suci daripada dosa dan tidak bersalah. Mereka masuk ke syurga tanpa hisab dan menjadi penyambut tetamu di pintu-pintu syurga, dan berbahagialah mereka di sana selamanya. Mereka mendapat kemenangan Syawal yang hakiki. Bersedihlah ke atas diri kita sendiri, yang tidak dapat membantu mereka sepenuhnya, dan yang belum tentu melangkahkan kaki ke Syurga.

Allahumansur ikhwanana fi Ghazzah!

‘Qowiy’

[tag(usrah): ukhuwwatina sirru quwwatina]

Image

Walimah akhi Sufi & ukht Salsabila

Dahulu, selalu sahaja saya mendengar perkataan ‘qowiy’. Jumpa akh sekian yang hebat memberi penyampaian, orang akan katakan si dia ‘qowiy’. Bila melihat akh amalannya banyak, hafalannya bagus dan disiplin mantap orang labelkan dia ‘qowiy’. Sampai satu masa, perkataan ‘qowiy’ itu hilang daripada maknanya sebenar apabila, menjadi seorang akh yang saya fahami bukanlah matlamatnya menjadi ‘qowiy’ sebegitu.

Saya cuba mencari pengertian baru di kalangan du’at muda dan lama mahupun di kalangan masyarakat umum. Lalu, saya berjumpa dengan maksud perkataan ‘qowiy’ yang baru. Yang dirasakan, itulah maksudnya yang sebenar supaya menjadi rujukan buat para du’at yang muda bersemangat. Kelak, tiada lagi ada yang menyatakan mereka itu tak ‘qowiy’ atau si polan tidak ‘qowiy’. Kerana, zaman dakwah itu berubah-ubah, daripada satu fasa ke satu fasa, daripada satu realiti kepada satu realiti. Ideal ialah seperti menyusun bongkah-bongkah kayu ke dalam satu ruangan. Untuk memenuhi sesuatu ruangan yang ideal, kadang-kala kita harus memberi laluan, supaya ada ruang dalam menyusun bongkah-bongkah bagi memenuhi ruangan kosong.

Jika ‘qowiy’ dimaknai oleh para du’at yang bersemangat itu dengan makna yang ideal, berilah laluan agar ada ruang yang dapat diisi oleh para du’at lain yang dianggap kurang ‘qowiy’. Kerana memberi ruang itu sebahagian daripada ruangan tetap ‘qowiy’ yang ideal. Fasa realiti dakwah berbeza dengan fasa teori dakwah. Dakwah kita menghasilkan produk, bukan prototype. Prototype itu nanti akhirnya akan dilupakan. Yang wajib itu ialah bergerak, bukan ‘qowiy’ atau tidak ‘qowiy’ di mata kita.

Lalu, melepasi sesuatu fasa itu lah makna baru yang saya temui bagi perkataan ‘qowiy’. Kerana setiap fasa yang dapat di atasi menjadikan kita semakin utuh di jalan dakwah. Wallahu’alam.

Alhamdulillah. Barakallah saya ucapkan kepada sahabat baik akhi Sufi Mazli kerana telah mengakhiri zaman bujangnya pada 1 Mac lepas. Saya berdoa agar pasangan ini terus memecut laju dalam dakwah. MasyaAllah, ini baru ‘qowiy’!! : )

Siasah Kini

[tag(umum): politik sebagai alat menuju kejayaan]

PKR dan Politik Selangor

Permainan politik adalah sesuatu yang sukar dijangkakan daripada apa yang kita sangka dari luar. Boleh jadi kita menuduh seorang ahli politik itu penipu sedangkan dia benar, boleh jadi kita sangkakan dia benar, sedangkan dia sebaliknya. Seseorang bertindak melalui pengalaman dan dia sentiasa belajar dengan apa yang telah dilalui. Hari ini kita diperlihatkan nuansa politik seperti tidak menentu. Kadang awannya cerah dan kadangnya hujan tanpa disangka walaupun dengan jelas kita menolak politik jumud oleh pihak-pihak tertentu.

Rasional

Apakah ada rasionalnya? Kita berbicara tentang rasional dalam sesebuah tindakan politik. Bagi rakyat marhaen, terlalu sukar diduga, apakah rasional di sebalik sesuatu tindakan. Ibarat permainan catur, kadangkala Permaisuri terpaksa dikorbankan demi menyelamatkan Raja sedangkan hulubalang dan askar-askar bawahannya masih lagi di medan.

Pendapat dan penegasan

Berbicaralah dengan ilmu dan info dan bukan dengan hati. Dalam Islam ada tabayyun dan diam itu lebih baik daripada kata-kata buruk bagi orang beriman. Kita bertindak bijak dalam aliran pemikiran acuan al-quran supaya apa yang haq ditegakkan dan batil tetap ditentang. Apapun, kerja dakwah perlu dilakukan terus tiada henti. Bahkan cabaran-cabaran ini sebenarnya membawa kepada kematangan dan pelajaran berharga untuk masa hadapan. Tindakan parti politik PKR yang celaru dan keliru kita katakan itu adalah muhasabah bagi kita untuk melangkah dengan lebih tegap di jalur pertengahan yang menyoroti taufiq di atas titian ‘mustaqim’. Satu hari bila sampai masanya, Islam pasti tinggi lebih daripada segalanya.