Hidup sebagai Syahid atau Mati Syahid?

[tag(umum): memahami erti jihad sebenar]

dakwah

Pemuda dan Ideologi

Pada umur meningkat dewasa, pemuda berada di peringkat pencarian identiti untuk disematkan sebagai jati diri. Menjadi pemuda di Malaysia, kita terdedah kepada pelbagai ideologi yang membuatkan kita mudah terpengaruh kepadanya. Boleh jadi pengaruh yang di bawa itu baik keseluruhannya ataupun sebaliknya. Ideologi yang diambil akan menjadi identiti bagi mencorakkan warna-warni kehidupan. Walaubagaimanapun, sesebuah ideologi berpaksikan asas yang salah boleh mengundang kepada pelbagai masalah.

Krisis di Syria dan kemunculan ISIS telah mengenengahkan ideologi jihad di atas nama Islam yang terpesong. Mereka membawa ideologi mendirikan ‘Khilafah Islamiyyah’ tatkala umat Islam masih lemah dibelenggu dengan sistem ekonomi, sosial dan akhlak yang jauh terkebelakang berbanding dengan negara-negara bukan Islam. Bahkan, pemimpin-pemimpin negara majoritinya umat Islam masih berselisihan dan belum mencapai kata sepakat sesama mereka. Sayangnya di Malaysia, ada di kalangan pemuda yang berani dan berhati murni untuk menegakkan Islam termakan dengan ideologi sebegini lalu mempengaruhi mereka bertindak ke medan ‘jihad perang’. Tambahan pula, dengan kirisis tertindasnya umat Islam di Timur Tengah, hal ini menyemarakkan lagi emosi anak muda dan diterjemahkan kepada semangat yang berkobar menentang kezaliman melalui ‘jihad perang’.

Mati syahid

Mutakhir ini, tertulis di laporan akhbar, berita penangkapan kumpulan-kumpulan dan individu-individu di Malaysia yang terlibat dalam mengikuti jihad di Syria atau menyertai ISIS. Rata-rata mereka berada dalam umur lingkungan pemuda. Antara elemen terbesar yang membakar semangat mereka menyertai “jihad” itu ialah meraih gelaran ‘mati syahid’. Fahaman jihad sebegini ialah fahaman yang menyimpang dari tujuannya. Pemahaman mati syahid tidak semudah dengan menyertai perang tanpa memahami tujuan dan matlamat akhir yang ingin diperoleh daripada ‘jihad perang’.

Benar, kemuliaan seseorang mati syahid balasannya hanyalah syurga. Siapa yang tidak mahu masuk syurga tanpa hisab? Bahkan, seharusnya tercatat di dada setiap muslim untuk bercita-cita mendapatkan mati syahid tanpa syarat. Firman Allah S.W.T:

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar [At-Taubah 9:111]

Erti jihad sebenar

Jika fahaman jihad diletakkan di bawah nama Islam, maka, seharusnya kita mencontohi sumber asal jihad itu sendiri iaitu mengikuti fahaman jihad Rasulullah dan para sahabat. Mereka ialah pelopor erti jihad sebenar yang telah berjaya membawa panji Islam menguasai hampir 2/3 dunia suatu ketika masa dahulu. Akan tetapi, jihad perang pada zaman Rasulullah SAW hanya dimulakan setelah Rasulullah dan para sahabat menguasai Madinah dan umat Islam merupakan golongan majoriti di zaman itu. Ketika itu, syariat Islam dapat ditegakkan secara bebas tanpa tentangan (fizikal) dan piagam Madinah dapat dijalankan seadil-adilnya. Sistem keadilan, ekonomi, sosial dan akhlak Islam dihidupkan oleh para sahabat di Madinah. Siri-siri jihad di zaman Madinah pula adanya tercetus kerana ancaman orang kafir dan ada yang tercetus dengan suruhan Allah untuk membebaskan masyarakat setempat menerima dakwah Islam setelah jalan dakwah secara aman ditolak.

Jelaslah di sini, ‘jihad perang’ yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para sahabat ialah jihad mempertahankan dakwah Islam dan bukan jihad membalas dendam atau menentang golongan penindas pada ketika umat Islam masih lemah. Jika tidak, tentunya ‘jihad perang’ sudah diperintahkan lebih awal sejak di zaman Makkah lagi. Namun, Allah memerintahkan supaya umat Islam di zaman Makkah bersabar kerana saranan jihad ketika itu ialah ‘jihad hujjah’ (menyampaikan dakwah) selain ‘jihad melawan diri dan nafsu’ di sebalik tekanan dan kesengsaraan yang mereka hadapi. Sabda Rasulullah SAW:

Seorang mujahid ialah seorang yang berjihad melawan nafsunya kerana Allah SWT dan orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah SWT [Muttafaq alaih]

Sesudah mereka (para sahabat) berjaya menguasai jihad hujjah dan jihad melawan diri dan nafsu (zaman Makkah) barulah Allah mengizinkan untuk mereka melaksanakan ‘jihad perang’ (zaman Madinah). Perintah ini diturunkan setelah mereka amat memahami fungsi jihad sebagai kelangsungan penyebaran dakwah Islam.

Tindakan bunuh diri

Menuntut tertegaknya sistem khalifah di tengah-tengah kucar-kacirnya dunia Islam ialah tuntutan yang tergesa-gesa (isti’jal) ibarat memetik buah yang belum tumbuh pohonnya lagi. Ideologi ini harus diperbaiki lebih-lebih lagi dalam konteks di Malaysia. Menyertai ‘jihad perang’ tanpa matlamat dan fahaman dakwah yang jelas hanya menjadikan jihad sebagai medan ‘membunuh diri’ dan bukan jihad sebagai medan mati syahid. Apatah lagi, perginya seorang pemuda tanpa mahir bahasa arab a’mmi (bahasa pasar) dan penguasaan strategi ketenteraan yang berbeza mengikut geografi menambah lagi kemungkinan dia dibunuh. Pergi tanpa pengetahuan keluarga akan memberi kesusahan kepada mereka untuk mencari pemuda yang hilang. Jika pemuda itu meninggal dunia tentu jasadnya ingin dituntut oleh ahli keluarga. Ini melibatkan kos dan masa. Selain itu, kesedihan dan trauma keluarga yang kehilangan ahlinya juga merupakan sesuatu hal yang menyusahkan ditambah jika ada urusan yang belum selesai (hutang, kontrak, pinjaman dsb).

Menjiwai dakwah sebagai jihad

Hidup sebagai seorang syahid seperti hidupnya para sahabat Rasulullah SAW lebih sukar daripada terus terjun ke medan perang bagi mendapatkan mati syahid. Para sahabat berdakwah melalui perbuatan dan nasihat yang baik. Mereka hidup penuh dengan kesungguhan dalam beragama, menegakkan syariat Islam dalam kehidupan seharian, berakhlak mulia, menjaga amal ibadat, melebihkan saudaranya dan mengorbankan harta, jiwa dan tenaga mereka untuk Islam sebelum dikurniakan syahid di medan ‘jihad perang’. Ini adalah contoh manifestasi keimanan dan ciri-ciri pendakwah yang memahami erti jihad sebenar pada konteks yang betul. Mereka ialah orang-orang yang hidup sebagai syahid sebelum sampai pada waktunya. Memahami tujuan dan matlamat sebenar jihad dalam konteks di Malaysia menjadikan seorang pemuda itu jelas ideologinya dan mulia hidupnya walaupun dia bukan berada di medan perang.

Di atas nama Islam

[tag(umum): menjelaskan matlamat dan cara]

Sesungguhnya-Islam-Yang-Akan-Datang-Adalah-Islam-Sunni

Di atas nama Islam kita bersatu dan atas nama Islam kita berbeza. Islam mengiktiraf berbezaan dalam ruang lingkup kesatuan. Ertinya, kita dibenarkan berbeza atas dasar mencapai matlamat yang satu dengan cara yang pelbagai. Oleh yang demikian, di atas nama Islam juga kita mengecapi nilai estetika agama tanpa mengubah apa yang telah diwariskan dengan sewenang-wenangnya. Itu satu hal.

Di atas nama Islam juga kita menghirup agama dan menghembuskan kembali demi menjaga kelangsungan agama ini dalam kehidupan. Kita tidak hidup untuk diri sendiri. Keputusan dan pilihan yang kita buat seharusnya bersandarkan di atas nama Islam. Jika disandarkan pada kepentingan diri, peribadi apatah lagi dunia seharusnya kita masih belum lagi menggarap kehidupan beragama di atas nama Islam.

Di atas nama Islam juga kita berjuang untuk meneruskan hidup demi kesejahteraan dunia dan akhirat. Perjuangan di atas nama Islam itu sungguh indah. Agama Islam itu lebih indah dari cerita cinta yang indah dan romantik. Ia juga lebih indah daripada segala paras dan rupa. Ia juga lebih indah daripada mahligai-mahligai atau kemewahan yang terbentang di dunia. Dunia ibarat laut, kita berjuang berenang merentasinya di atas nama Islam. Kita tidak tenggelam di dalamnya.

Lalu, apa yang kita faham di atas nama Islam. Kefahaman itu tiada pada aku, kamu dan semua daripada kita selagi kita tidak berbicara, beramal dan bertekad di atas nama Islam.

Istikharah

[tag(umum): beristikharahlah pada setiap urusan]

Saudara,

Istikharah bukan untuk cinta tetapi

Istikharah itu kerana cinta

Manusia itu jahil sifatnya

Kita berdoa dan kita beristikharah

Kita berdoa dan kita beristikharah

Kita berdoa dan kita beristikharah

Ya atau tidak

Betul atau salah

Itu bukan natijahnya

Kerana natijahnya sudah tergambar

Kepada hamba yang berdoa

memohon

merayu

untuk memperoleh keredhaanNya

dan kita beristikharah kerana cinta kepada-Nya

yang maha menetapkan

pada segala apa sahaja urusan hambanya

Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu

dan

boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu

Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui

2:216

Benarlah kata-kata Tuhan yang Maha Agung

Jalan Bahagia

[tag(umum): masa terus berlalu ketika kebahagiaan tidak pernah berhenti untuk dinikmati]

Forest

Salah satu kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada manusia ialah membuat pilihan. Binatang tiada kebebasan untuk membuat pilihan seperti lembu tidak boleh memilih untuk memakan ayam kerana telah ditetapkan oleh Allah untuk hanya memakan rumput. Tetapi tidak untuk manusia. Kita punyai akal, hati, fikiran, panca indera, anggota badan  dan semua ini adalah kelebihan yang diberikan oleh Allah dalam membantu manusia membuat pilihan.

Namun, kadangkala kita hairan. Mengapa ada manusia yang sanggup menghabiskan duitnya semata-mata untuk membeli sekeping tiket ke panggung cerita seram yang menakutkan dan bahkan bakal menghantui seluruh hidupnya. Walhal, di tangannya ada pilihan untuk menonton cerita-cerita komedi jenaka yang boleh menggembirakan dan membahagiakan hidupnya. Justeru fahamlah kita di sini, sesungguhnya, kebahagiaan juga merupakan sebuah pilihan!

Jalan menuju kebahagiaan sudah dibuka oleh Allah seluas-luasnya, seluas laut dipandang dan seluas langit yang terbentang. Tetapi, masih ramai lagi di kalangan manusia memilih untuk masuk ke lubang-lubang tikus yang hanya menunggu masa untuk dipatut dan dimakan ular. Apakah terlalu kecil rahmat Allah dibandingkan dengan nikmat dunia yang sementara ini. Masih ada manusia yang tergamak membelakangkan Tuhannya disebalik segala nikmat yang telah diberikan padanya.

Lalu, ada juga manusia yang memilih untuk menjauh daripada Tuhannya. Sepertinya, nikmat yang pernah dikecapi itu seakan terlupakan, atas sebab dirinya telah selesa menapaki jalan sengsara yang damai, nyaman dan membahagiakan. Sehingga kelak pada akhirnya dia berjumpa dengan lubang neraka yang sedang menunggu. Ketika itu tiada lagi jalan untuk berpatah semula. Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbangi akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi jalan petunjuk kepada orang-orang yang fasik. 9:24.

Benarlah, kata-kata Allah yang maha agung.

‘Qowiy’

[tag(usrah): ukhuwwatina sirru quwwatina]

Image

Walimah akhi Sufi & ukht Salsabila

Dahulu, selalu sahaja saya mendengar perkataan ‘qowiy’. Jumpa akh sekian yang hebat memberi penyampaian, orang akan katakan si dia ‘qowiy’. Bila melihat akh amalannya banyak, hafalannya bagus dan disiplin mantap orang labelkan dia ‘qowiy’. Sampai satu masa, perkataan ‘qowiy’ itu hilang daripada maknanya sebenar apabila, menjadi seorang akh yang saya fahami bukanlah matlamatnya menjadi ‘qowiy’ sebegitu.

Saya cuba mencari pengertian baru di kalangan du’at muda dan lama mahupun di kalangan masyarakat umum. Lalu, saya berjumpa dengan maksud perkataan ‘qowiy’ yang baru. Yang dirasakan, itulah maksudnya yang sebenar supaya menjadi rujukan buat para du’at yang muda bersemangat. Kelak, tiada lagi ada yang menyatakan mereka itu tak ‘qowiy’ atau si polan tidak ‘qowiy’. Kerana, zaman dakwah itu berubah-ubah, daripada satu fasa ke satu fasa, daripada satu realiti kepada satu realiti. Ideal ialah seperti menyusun bongkah-bongkah kayu ke dalam satu ruangan. Untuk memenuhi sesuatu ruangan yang ideal, kadang-kala kita harus memberi laluan, supaya ada ruang dalam menyusun bongkah-bongkah bagi memenuhi ruangan kosong.

Jika ‘qowiy’ dimaknai oleh para du’at yang bersemangat itu dengan makna yang ideal, berilah laluan agar ada ruang yang dapat diisi oleh para du’at lain yang dianggap kurang ‘qowiy’. Kerana memberi ruang itu sebahagian daripada ruangan tetap ‘qowiy’ yang ideal. Fasa realiti dakwah berbeza dengan fasa teori dakwah. Dakwah kita menghasilkan produk, bukan prototype. Prototype itu nanti akhirnya akan dilupakan. Yang wajib itu ialah bergerak, bukan ‘qowiy’ atau tidak ‘qowiy’ di mata kita.

Lalu, melepasi sesuatu fasa itu lah makna baru yang saya temui bagi perkataan ‘qowiy’. Kerana setiap fasa yang dapat di atasi menjadikan kita semakin utuh di jalan dakwah. Wallahu’alam.

Alhamdulillah. Barakallah saya ucapkan kepada sahabat baik akhi Sufi Mazli kerana telah mengakhiri zaman bujangnya pada 1 Mac lepas. Saya berdoa agar pasangan ini terus memecut laju dalam dakwah. MasyaAllah, ini baru ‘qowiy’!! : )

[Khutbah Jumaat] – Hijrah dan Cinta

[tag(umum): hijrah kerana dakwah]

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ, نَحْمَدُهُ, وَنَسْتَعِينُهُ, وَنَسْتَغْفِرُهُ, وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا, ومِن َسَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا

مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ, وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

أَمَّا بَعْدُ:

فَإِنَّ أصدق الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ, وَخَيْرَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ, وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا, وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ, وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ, وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلاً سَدِيدًا يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Hijrah yang pertama dilakukan oleh umat Islam bukanlah penghijrahan dari kota Makkah ke kota Madinah. Namun, penghijrahan pertama yang dilakukan oleh umat Islam telah dilaksanakan di atas arahan Rasulullah SAW yang dipimpin oleh Sayyidina Uthman bin Affan RA membawa angkatan hijrah pertama seramai 12 orang lelaki dan 4 orang perempuan menuju ke Habsyah. Di sini bermulalah siri-siri penghijrahan yang dituntut oleh Islam dengan matlamat supaya kedudukan Islam itu terjaga.

Bersempena dengan tahun baru 1435 Hijrah, mimbar hari ini mengajak sidang Jemaah sekalian untuk kita sama-sama memaknai ruh di sebalik siri-siri penghijrahan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA.

Mari kita telusuri sejenak sebuah hadis panjang yang diceritakan oleh Rasulullah SAW.

Dari Abu Sa`id Sa`d bin Malik bin Sinan al-Khudri radhiAllahu `anhu, bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Pada zaman dahulu ada seseorang yang telah membunuh 99 orang.  Kemudian dia mencari-cari orang yang paling `alim di negeri itu maka dia pun ditunjukkan kepada seorang pendeta.  Dia pun lantas datang kepada si pendeta dan menceritakan bahawa dia telah membunuh 99 orang, maka adakah masih boleh diterima taubat.  Lalu pendeta itu mengatakan bahawa taubatnya tidak akan diterima.  Lantas orang itu membunuh si pendeta tadi maka genaplah sudah orang yang dibunuhnya sebanyak 100 orang.

Dia mencari-cari lagi orang yang paling `alim di negeri itu maka dia ditunjukkan kepada seseorang yang sangat `alim.  Kemudian dia menceritakan bahawa dia membunuh 100 orang, maka adakah masih boleh diterima taubatnya.  Orang yang sangat `alim itu menjawab,  “Ya, masih boleh.  Siapakah yang dapat menghalangnya untuk bertaubat?  Pergilah ke daerah sana kerana penduduk daerah sana itu sama menyembah kepada ALLAH Ta`ala, maka sembahlah ALLAH bersama-sama dengan mereka dan janganlah engkau kembali lagi kekampung halamanmu kerana perkampunganmu adalah daerah hitam.”

Maka pergilah orang itu.  Setelah menempuh jarak kira-kira setengah perjalanan maka matilah dia.  Kemudian bertengkarlah Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab.  Malaikat Rahmat berkata, “Dia telah berangkat untuk benar-benar bertaubat dan menyerahkan dirinya dengan sepenuh hati kepada ALLAH Ta`ala.”  Malaikat Azab pula berkata, “Sesungguhnya dia belum berbuat kebaikan sedikit pun.”

Lantas datanglah seorang Malaikat dalam bentuk manusia, maka kedua-dua Malaikat itu menjadikannya sebagai hakim.  Maka berkatalah Malaikat yang dalam bentuk manusia itu, “Ukurlah olehmu dua daerah itu.  Maka kepada daerah yang lebih dekat itulah ketentuan nasibnya.”

Mereka mengukurnya kemudian mereka mendapati daerah yang dituju itulah yang lebih dekat.  Maka orang itu diambil nyawanya oleh Malaikat Rahmat.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Sidang Jumaat yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian,

Berdasarkan kisah disebutkan tadi, jelaslah kepada kita tentang makna hijrah yang diterangkan oleh Rasulullah SAW. Hijrah yang dirahmati oleh Allah SWT itu jaminannya ialah syurga. Kerana tindakan penghijrahan itu lahir daripada perasaan seorang hamba yang ingin taat kepada Allah dan Rasulnya. Seperti firman Allah SWT:

3_132

Dan taatilah Allah dan Rasul, supaya kamu diberi rahmat. [Ali Imran 3:132]

Mari kita sama-sama memaknai ruh di sebalik kisah penghijrahan ini. Bulan Muharram sinonim dengan umat Islam di Malaysia dengan sambutan Maal Hijrah. Alhamdulillah, sambutan ini hanya setahun sekali namun diharapkan melalui sambutan ini mungkin akan menjadi titik tolak bagi kita menjiwai ruh penghijrahan seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA.

Umur kita yang pendek tidak mungkin melayakkan kita ke syurga dengan mudah. Bahkan apatah lagi amal-amal kita yang sedikit. Kalaulah ditimbang amalan kita sebagai asset kita ke syurga, sudah tentu tiada manusia dapat mencium bau syurga selepas daripada golongan sahabat-sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin. Betapa dosa mata kita sahaja tentu lebih berat lagi jika kita ditimbangi dengan amal soleh kita.

Apakah kita hari ini beribadat seperti beribadatnya nabi? Jika kita berumur panjang sekalipun, apakah ibadah kita kualitinya sama seperti ibadahnya sahabat-sahabat. 1/3 daripada umur kita sahaja sudah dihabiskan dengan waktu tidur, apakah bakinya digunakan untuk kebaikan atau sia-sia.

Lalu, apa yang kita faham tentang Hijrah dan apa yang kita harapkan daripada Hijrah?

Sidang jumaat yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian.

Persoalan yang dilontarkan mimbar tadi, tiada jawapannya pada mimbar yang boleh dinyatakan lewat tulisan mahupun kata-kata. Jawapannya hanya ada pada diri kita, tindakan kita selepas kita menunaikan solat jumaat nanti. Kita tidak perlu menunggu tarikh keramat 1 Muharram untuk meminta maaf dan membuat azam baru untuk memperbaiki dan memperbanyak amal-amal kita. Kerana tarikh hanya sebuah bilangan, begitu juga banyak dan sedikit adalah kata-kata adjektif menunjukkan bilangan.

Yang kita inginkan daripada penghijrahan ialah cinta. Cinta atau sinonimnya dalam bahasa arab ialah Rahmat Allah SWT. Cinta kita untuk kembali membetulkan kompas hidup kita ke arah menuju redha dan rahmat Allah SWT. Orang yang memberi cinta sahajalah itulah yang akan dibalas cintanya oleh Allah SWT. Dan kerana cinta dah rahmatNya lah kita ke syurga bukannya hitungan amal-amal kita.

Sidang Jumaat yang dirahmati dan dikasihi sekalian,

Kita tidak beribadah sebagai rutin harian kerana mengharapkan banyaknya pahala amal kita berbanding dosa yang kita lakukan. Jika matlamat ibadah untuk memperbanyakkan amal dan pahala supaya boleh di bawa ke syurga tentu sahaja tidak cukup. Mari kita lihat pengajaran di sebalik kisah hadis tadi. Kita memfokuskan kepada nasihat orang alim kepada sang lelaki. Orang alim itu sangat mengetahui bahawa hanya dengan menyuruh lelaki itu berhijrah ke daerah yang baik akan menyelamatkan imannya yang baru berputik. Begitu dengan kampungnya yang penuh dengan kezaliman dan kejahatan itu, dia perlu tinggalkannya untuk membiarkan dia mendalami agamanya agar imannya kuat di tempat yang baru.

Namun, beliau tidak kesampaian untuk menyampaikan hasrat hijrah sedangkan cintanya kepada Allah SWT telah berputik mekar seperti yang telah diterjemahkan daripada tindakan hijrahnya. Allah tidak melihat dosa-dosa perbuatan jahatnya menjadi seorang pembunuh dengan membunuh 100 orang, bahkan jika beliau membunuh seorang sahaja sudah cukup dikira sebagai perlakuan dosa yang besar yang boleh membawanya ke neraka. Tetapi, kerana atas dasar rahmat dan cinta Allah kepada hamba-hamba yang kembali menemukan hidupnya hanya kerana Allah SWT itulah, yang membawanya ke syurga.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Hijrah itu dilakukan kerana cinta kita kepada Allah SWT dengan harapan agar cinta kita dibalas dengan rahmat atau cinta Allah SWT. Rasulullah SAW mengajarkan kita bahawa siri-siri Hijrah yang dilakukan oleh Rasul dan para sahabat atas sebab untuk menyelamatkan iman dan mengembangkan dakwah Islam. Kerana selepas penghijrahan yang pertama ke Habsyah, Najasyi raja Habsyah ketika itu akhirnya memeluk Islam. Selepas nabi SAW berhijrah ke Madinah, Madinah menjadi pusat kecermerlangan Islam sehingga tersebarnya agama Islam yang membina tamadun dan peradaban dunia yang patuh di bawah syariah Islam.

Hijrah tidak lengkap jika dengan hanya memperbaiki diri kita sendiri tetapi ianya disempurnakan dengan memperbaiki diri orang lain mengikut sunnah terbesar yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW melalui dakwah. Kerana dakwah itu ialah apresiasi cinta kita kepada Allah SWT jadi Hijrah juga dilakukan atas dasar cinta kepada Allah SWT bukan sekadar meningkatkan amalan untuk diri kita sendiri.

Firman Allah SWT:

39_10

“Katakanlah: Hai hamba-hambaku yang beriman. Bertakwahlah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas! Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah (dalam melakukan dakwah) yang DICUKUPKAN PAHALA MEREKA TANPA BATAS. [Az-Zumar 39:10]

والله أعلم

***********************************************************************************************************************************************

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه

أما بعد

فيا عباد الله اتق الله وحافظوا على الطاعات وحضور الجمع والجماعات

قال الله عز وجل في كتابه العزيز،

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ , فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

واعلموا أن الله عز وجل قد صلى على رسولنا صلى الله عليه وسلم كما أمرنا به في القرآن الكريم

[إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيماً [الأحزاب:56

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat itu berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi.”

Sabda Nabi SAW,

أكثر الصلاة علي يوم الجمعة من صلى علي واحدة صلى الله عليه عشرا

Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada hari Jumaat, barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali maka Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Mimbar Jumaat hari ini menyeru sekali lagi kepada hadirin sekalian, marilah kita sama-sama memaknai ruh dan semangat di sebalik penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dengan memperbaiki keislaman kita tanpa melupakan tanggungjawab untuk sama-sama memperbaiki keislaman orang lain. Jadikan rakyat Muslim di Malaysia patuh kepada perintah Allah SWT dengan kita mengamalkan amalan soleh dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarangNya. Seiring dalam firman Allah SWT:

3_104

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung” [Ali-Imran 3:104]

Semoga kita tergolong daripada golongan yang beruntung atas dasar kecintaan kepadaNya.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ, اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ

اللهم أعز الإسلام والمسلمين واهلك الكفرة أعداء الدين

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَ لِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِاْلإِيمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلاَّ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوفٌ رَحِيمٌ

اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات إنك سميع قريب مجيب الدعوات

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

عباد الله،

{ إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذي القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي يعظكم لعلكم تذكرون } [النحل:90]

فاذكروا الله العظيم يذكركم، واشكروه على نعمه يزدكم، ولذكر الله أكبر، والله يعلم ما تصنعون

Fahmi

[tag(umum): memahami dengan mata hati]

tadabbur

“Kalau baca Al-Quran yang arab sahaja OK ker?..” kata Izwan.

“OK.. Cuma, kalau baca terjemahannya sekali, lagi OK…!” Fahmi cuba mendakwah (mengajak) sahabatnya.

“Tapi aku bukan reti sangat baca Al-Quran, lambatlah nak baca yang arab, lepas tu nak baca terjemahan lagi..” kata Izwan.

“Takpe, tak payah baca banyak.. baca separuh daripada apa yang kau baca sekarang, kemudian baca terjemahan, pahalanya tetap sama..” ujar Fahmi.

“Okkay..!” senyum Izwan. Kata-kata itu melegakannya.

Continue reading