Antara dua gunung

[tag(umum): tunjukkanlah kami jalan yang lurus]

antara dua gunung

Pendakian

Cuba kita bayangkan, kita sedang menggalas sebuah beg diisi dengan barangan keperluan  dan diberi misi untuk mendaki sebuah gunung. Kita disediakan dengan kompas dan peta sebagai petunjuk. Kita memulakan perjalanan sejak awal pagi lagi untuk memudahkan pendakian. Di pertengahan perjalanan kita sampai di persimpangan kaki gunung. Di situ kita melihat dua buah gunung yang jauh terpisah antara kedua-duanya. Sebuah gunung itu berada jauh di sebelah timur, dan sebuah lagi berada nun jauh di sebelah barat. Jika kita menaiki satu gunung, dari jauh kita boleh melihat gunung yang satu lagi. Lalu, kita keliru gunung yang mana satu harus kita daki. Kita kembali merujuk kepada kompas dan peta untuk mengesahkan gunung yang mana satu ingin kita tujui seperti yang ditugaskan.

Begitulah analogi Islam dan Jahiliyyah. Ianya seperti dua gunung tadi yang terpisah jauh. Sebuah gunung di sebelah timur itu Islam dan sebuah lagi di sebelah barat ialah Jahiliyyah. Di kaki gunung itu terdapat sebuah persimpangan untuk pendakinya membuat pilihan. Lalu tiada jalan lain untuk selamat selain memilih persimpangan yang mendaki pergunungan Islam dan meninggalkan persimpangan ke pergunungan Jahiliyyah itu jauh-jauh.

Jahiliyyah itu seperti apa?

Setelah kita memilih persimpangan yang betul, kita memulakan pendakian dari kaki gunung Islam. Semakin tinggi kita mendaki gunung Islam itu, semakin jelas kelihatan apa yang berada di gunung satu lagi namun, kita belum dapat melihat apa yang ada di puncak. Perasaan ingin tahu untuk melihat keadaan di puncak gunung sebelah sana semakin membuak-buak. Kita meneruskan pendakian walaupun diri kita  keletihan memerah segala keringat yang ada. Setelah berpenat lelah mendaki akhirnya kita sampai ke puncak gunung Islam itu, lalu tersuratlah apa yang tersirat di puncak gunung Jahiliyyah tadi.

Kita melihat dengan tersenyum, kerana kita memilih jalan yang betul berpandukan kompas dan peta yang diberi. Kita berasa puas dan lega kerana penat lelah kita berbaloi. Tentunya kalau kita tersilap memilih persimpangan tadi, kita tidak akan merasakan udara yang nyaman dan pemandangan yang menakjubkan kerana di gunung yang satu lagi itu di puncaknya ialah gunung berapi yang hanya menunggu masa memuntahkan haba-haba panas kepada pendaki-pendakinya.

Setelah menyelesaikan tugasan pendakian ini barulah kita faham, selagi mana kita tidak mendaki gunung Islam selagi itu kita tidak akan dapat melihat seperti apa keadaan di puncak gunung yang satu lagi.

Hakikat matlamat hidup Islam dan Jahiliyyah

Mujur kompas dan peta yang disediakan membawa kita ke pendakian yang betul. Pada kehidupan manusia, Al-Quran dan As-Sunnah itu ialah kompas dan peta kita. Namun, masih ramai manusia yang mahu mengikut nafsu mereka daripada menggunakan kompas dan peta yang sudah diberi menyebabkan mereka tersesat memilih gunung Jahiliyyah.

Kehidupan itu tidak statik pada kitaran kehidupan yang diprogramkan oleh nafsu manusia yang mengamalkan Jahiliyyah. Tidur, makan, bekerja, berhibur dan tidur semula. Kehidupan seperti itu sebenarnya ialah kehidupan kebinatangan. Al-Quran telahpun menyebut tentang matlamat hidup Jahiliyyah,

Dan (sebaliknya) orang-orang kafir (yang berpaling daripada petunjuk) itu menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka. [Muhammad 47:12]

Dihiaskan (dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih (sama nilainya seperti kereta mewah); dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun dan tanaman (sama nilainya seperti pekerjaan, jawatan dan  perniagaan). Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (Syurga). [Ali-Imran 3:14]

Islam dan Jahiliyyah itu terpisah jauh

Manusia tidak akan sekali-kali mampu membahagiakan dirinya sendiri dengan meletakkan matlamat peribadi sebagai matlamat hidupnya. Hanya matlamat hidup yang diprogramkan oleh Al-Quran sahaja akan menjadikan kita bahagia.

Islam itu jelas, Jahiliyyah itu jelas. Ianya umpama dua buah gunung tadi. Tiada percampuran atau jalan tengah pada kedua-duanya. Tatkala kita berjalan ke arah gunung Jahiliyyah, sebenarnya di waktu yang sama kita telahpun meninggalkan ajaran Islam. Justeru, tidak akan terjadi jika seseorang itu mengamalkan Jahiliyyah dan Islam pada satu-satu masa dan tiada kompromi untuk Jahiliyyah jika benar kita menuruti ajaran Islam sepenuhnya.

Seseorang boleh sahaja berkata: “Asalkan aku sembahyang, tutup aurat dan baca Al-Quran sudah cukup”. “Daripada luar memang nampak aku jahat, tapi hati aku baik, tak pernah tinggal solat”. “Alah, benda ini bukan dosa pun”.

Persoalan Islam bukanlah setakat pada solat, tutup aurat dan baca Al-Quran sahaja. Ianya merangkumi seluruh kehidupan kita bermula daripada kita bangun tidur dan sehingga kita tidur semula. Kerana Iman itu bermaksud: mengakui dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota secara serentak.

We are a Muslim first!

Kita adalah Muslim sebelum segala-galanya. Tidak kiralah kita Melayu,Cina, India, Malaysian, American, Nepal, pelajar dalam negara, pelajar luar negara, belajar Al-Azhar, belajar medic, belajar engineering, muda, tua, anak ustaz, anak orang kaya, anak orang kampong, pandai cakap orang putih, pandai cakap Arab, power main bola, sokong Man U, tak sokong Real Madrid, tough, cantik, putih, hitam, kita tetap Muslim sebelum segala-galanya. Kita harus berbangga dan menunjukkan kebanggaan kita sebagai seorang Islam pertamanya selamanya  dan kemudiannya barulah diikuti dengan apa-apa identiti diri kita asalkan ianya syari’e (bertepatan dengan Islam).

Betapa ramai hari ini berbangga dengan pasukan bola sepaknya lebih daripada Islam? Nauzubillah. Kita tidak perlu mencemarkan Islam yang ada untuk membudayakan diri kita di sebuah persekitaran sementara. Beruntunglah orang yang membawa Islam dalam dirinya kerana Islam itu akan kekal abadi membawa orang-orang yang setia bersamanya ke syurga.

Hai orang-orang yang beriman, ruku’lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan. Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang MUSLIM dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong. [Al-Hajj 22:77-78]

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s