Institusi Rumah Muslim

[tag (usrah): memperkasakan usaha perkuatkan institusi amal Islami]

Malam itu ialah malam kedua aku di Konsisten 2011. Aku tak ambil kisah tentang topik pengisian semua sesi kerana sibuk bertaaruf dengan ikhwah-ikhwah lain dan aku fikir sesi pada malam itu mungkin sesi pengisian ilmu mengenai dakwah dan tarbiyyah sebagainya.

Kami memenuhi ruang auditorium beramai-ramai setelah selesai menunaikan solat isya’ dan tarawih. Aku mengambil tempat duduk di sebelah ikhwah Mesir kerana ingin bertanya dan berbual sedikit dengan mereka tentang Mesir. Lalu, speaker sesi malam itu pun masuk ke auditorium dan aku lihat seorang lelaki dan seorang lagi perempuan naik ke atas pentas. Di saat AJK program menghulurkan cawan dan air mineral kepada kedua-dua speaker, speaker lelaki tadi menuangkan air ke dalam cawan speaker wanita tu. Pada saat itu aku faham, mereka bukan speaker berasingan, bahkan suami isteri. Bagi aku mereka juga muallim dan muallimah dakwah yang dah mendahului kita sebagai daie muda.

Aku langsung tidak menyangka akan ada sesi sebegini sepanjang program berlangsung. Secara peribadi perkara ini masih jauh lagi dan lama lagi untuk aku fikirkan dan mungkin itu pun hal yang sama dirasakan oleh ikhwah-ikhwah lain. Namun, aku sedar umur aku bukan muda lagi, tahun ini sudah mencecah 21 tahun. Sudah mencapai umur dewasa. Kenapa pula tidak sesuai untuk mereka menyediakan sesi sebegini. Aku sahaja yang berasa kerdil dan kecil.

Topik perbincangan pada malam itu ialah Rumah Muslim. Satu hal yang serius. Hal yang melibatkan separuh daripada penyempurnaan agama. Lalu, aku toleh pada audien akhawat malam tu, aku lihat, bilangan mereka ramai melebihi bilangan ikhwah. Mungkin statistik aku meleset untuk melihat berdasarkan satu program sahaja tapi berdasarkan pengalaman, selalunya bilangan akhawat sentiasa lebih ramai daripada ikhwah. Aku mula merasai satu perasaan tak senang hati.

Pemilihan. Itu yang aku fikirkan. Muallimah yang memberi pengisian pada malam itu mengatakan dengan tegas, “akhawat sudah tentu inginkan pasangan yang tentunya ikhwah, cuma kadang-kadang ikhwah sahaja yang terlalu memilih-milih dan tidak mengambil pasangan dikalangan akhwat”. Aku fikir, mungkin benar juga kata muallimah malam tu. Tapi, bilangan ikhwah tidak sebanyak akhwat, dan kalau ikhwah pula memilih bertambah-tambahlah akhwat yang tidak berpasangkan ikhwah. Ini satu hal merugikan institusi Rumah Muslim dan Amal Islami. Ya, itulah yang terjadi sebenarnya. Aku kenal seorang akhwat, kakakku sendiri, yang boleh aku katakan sudah berumur dan belum bernikah. Hakikatnya, bukannya dia tak mahu bernikah, tapi sudah tiada lagi ikhwah yang tinggal sebaya umur dengannya atau lebih tua dan agak susah untuk mencari pasangan ikhwah yang muda kerana akhwat muda juga ramai.

Lalu, aku merasakan ada tanggungjawab yang besar oleh pendengar-pendengar ikhwah pada malam itu. Aku tak mengambil pengisian sesi malam itu dengan jiwa yang romantik, membayangkan Rumah Muslim dengan berlatarbelakangkan muzik ayat-ayat cinta atau ketika cinta bertasbih. Aku juga tak membayangkan pengisian Rumah Muslim malam itu seperti Rumah Muslim yang selalu beredar gambar-gambar di internet iaitu kartun-kartun yang menunjukkan ikhwah dan pasangan akhwatnya yang berniqab. Tidak.

Aku memikirkan, jika benar KITA ingin menegakkan institusi muslim, dan meramaikannya, adalah satu urgensi buat ikhwah-ikhwah pada malam itu untuk meramaikan lagi bilangan ikhwah-ikhwah. Maksudnya dakwah dan tarbiyyah mesti digiatkan untuk meramaikan ahli usrah dan menambah bilangan-bilangan ikhwah. Itu lebih prioriti pada umur sebegini daripada memikirkan siapa bakal pasangan akhwat, kerana bilangan akhawat ramai dan jika ditakdirkan Allah, insyaAllah adalah jodoh yang akan ditemukan, kerana firman Allah jelas dalam al-quran menyebut:

Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyu', laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar. Al-Ahzab, 33:35

Cuma apa yang penting ialah, ikhwah akhwat perlulah memiliki ciri-ciri yang disebutkan oleh Allah barulah bertepatan dengan apa yang difirmankan.

Kita memanggil dan menyeru dakwah dan tarbiyyah kepada orang lain, hanyalah semata-mata kerana Allah. Jalan dakwah KITA merupakan jalan dakwah yang sudah ada objektifnya iaitu menjadikan Islam sebagai Ustaziatul Alam. Tentu setiap tingkat-tingkat muratib amal itu perlu didirikan dengan penuh wawasan untuk mecapai objektif kita. Kerana itu, tugas besar menanti ikhwah-ikhwah. Biarpun di lokaliti mana kita berada, kita perlu mengumpul rijal-rijal yang faham Islam yang bercirikan individu Muslim untuk perkasakan bilangannya seperti ramainya bilangan akhawat yang ada.

Aku punyai pengalaman berporgram dengan ikhwah yang lebih berumur daripadaku. Aku lihat daripada susuknya orangnya mempunyai wajah yang manis. Melihat wajahnya sahaja sudah menyejukkan mata, tentulah jika yang berlainan jantina mudah tertarik pada wajahnya. Tetapi, susuk zaujahnya kalau berdasarkan pemerhatian orang di zaman sekarang mungkin hanyalah biasa sahaja dan anak mereka pula punyai sedikit kurang upaya mentalnya. Ketika itu aku sebak kerana melihat betapa ikhlasnya ikhwah yang seorang ini, langsung tidak memilih dalam jodohnya kerana orang selalu membayangkan kalau lelaki yang rupawan sepadan dipasangkan dengan wanita yang rupawan juga. Tidak. Ikhwah tersebut membuktikan pada aku, tarbiyyah memecah fahaman sebegitu, asalkan Rumah Muslim itu dibina dengan kefahaman, bukan dengan fizikal.

Begitu juga ada ikhwah yang melambatkan masanya untuk menikah sedangkan boleh sahaja untuk beliau mendirikan rumah Muslim, tetapi beliau menghabiskan banyak masanya untuk meramaikan lagi ikhwah, katanya untuk memperkasakan rumah Muslim dengan meramaikan lagi individu Muslim (ikhwah) berbanding jika beliau mendirikan rumah Muslim pada masa ini, akan membuatkan kerjanya untuk meramaikan lagi individu Muslim sedikit terbantut dek kerana bertambahnya tanggungjawab selepas itu. (kalau ada yang tidak bersetuju pendapatnya, mungkin realiti keadaan ikhwah itu sebegitu)

Aku termenung mengenang dakwah dan tarbiyyah pada zaman Rasulullah dan membandingkan zaman kita ini. Banyak lagi kerja perlu dibuat sebenarnya. Perasaan perlu dikorbankan dan tanggunjawab perlu diperkasakan jika diri ini benar-benar ikhlas menerjunkan diri dalam dakwah dan tarbiyyah. Baru aku mengerti, bagaimana ikhlasnya golongan-golongan Ansar, sehingga sanggup untuk menceraikan isteri mereka untuk Muhajirin dan isteri mereka juga tidak pula membantah. Ini satu pengorbanan yang besar apabila keyakinan dan kefahaman Islam sudah masuk kepada inidividu lakukanlah apa sahaja untuk agama. Subhanallah. Mari kita sambut tanggungjawab ini duhai ikhwah, kita perkasakan lagi institusi individu Muslim untuk melihat kejayaan Islam satu hari nanti, insyaAllah.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s