Serius dan Prioriti

[tag (usrah): tanggungjawab kita sangatlah besar]

Lama rasanya tak menulis, rasa bersalah pula mengabaikan blog dah berapa minggu tidak di’update’. Terbiar berhabuk dek sibuk dengan kelas dan tanggungjawab membentuk manusia-manusia untuk ke arah individu Muslim, saya pula semakin hilang arah tuju dengan tanggungjawab dakwah pena ini. Astaghfirullah.

Post kali ini saya ingin memperkenalkan tag yang saya lebih berkenan untuk para pembaca teliti sebelum membaca tulisan-tulisan saya. Baris pertama setiap artikel saya selepas ini akan didahului dengan tag (usrah) atau tag (umum). Apa perbezaannya? Kurungan tag itu menceritakan segalanya. Maknanya, tag (usrah) itu ialah artikel yang sesuai dibaca pada sesiapa yang mengikut usrah sahaja. Manakala, tag (umum) untuk bacaan umum. Harap dengan panduan ini dapatlah mendorong sesiapa yang belum berada dalam lingkungan usrah ini untuk mencari dan menerjahkan diri anda ke dalam usrah secepat mungkin supaya dapat lebih menghayati tulisan ini.

Serius

Kebiasaan manusia pada zaman ini menjadi serius apabila berlaku sesuatu hal berkenaan tentang dirinya. Apabila berhadapan dengan exam, kita menjadi serius. Berhadapan dengan homework barulah kita menjadi serius. Dan apabila berhadapan dengan pilihan untuk kesenangan dan keselesaan diri, kita menjadi serius. Ini kerana serangan individualisme sudah masuk ke dalam hati masyarakat muslim zaman ini. Inilah serangan salib moden umat Islam hadapi sekarang. Kita seperti sudah hilang sensitiviti dan toleransi sesama sendiri. Semua hal adalah berkenaan AKU dan diriku. Usah pedulikan tentang hal orang lain. Kebahagiaan hanyalah untuk diri sendiri. Hal ini sangatlah bertentangan dengan prinsip Islam. Islam memupuk kita untuk mengambil peduli tentang orang lain baik Muslim atau Non-Muslim. Mana mungkin Islam menzalimi orang lain. Nabi tidak pernah sebegitu.Namun kita melihat, keseriusan individu pada hari ini kebakanyakannya hanyalah berkisar tentang dirinya. Nabi Muhammad SAW meletakkan keseriusan hal yang dilakukan bukan untuk dirinya tetapi untuk umatnya. Inilah sifat daie yang jujur dan murni. Dimana lagi contoh yang terbaik yang boleh kita cari selain daripada Muhammad bin Abdullah. Nabi mentarbiyyah sahabat dengan serius untuk menjadi orang yang serius dalam menyebarkan kefahaman Islam sebenar. Kalau tidak, mana mungkin Islam boleh tersebar luas dengan begitu cepat, dan menguasai 2/3 dunia dengan mengalahkan Rom dan Parsi yang dahulunya adalah mustahil untuk ditewaskan.  Serius. Itulah kata kunci yang sangat perlu difahami dan perlukan praktikaliti.

Ikhwah akhawat sekalian. Keseriusan itu amatlah penting tetapi bukanlah prioriti keseriusan itu terletak hanya di sekitar diri kita.  Prioriti keseriusan itu sepatutnya kita tempatkan untuk Islam sepenuhnya. Nabi dan sahabat-sahabat meletakkan keseriusan dalam apa sahaja aktiviti harian mereka untuk Islam dan Allah. Mereka bekerja bersungguh-sungguh demi Islam. Berurusan dengan orang lain demi Islam. Demi menjaga tarbiyyah dan semangat dakwah diri mereka, mereka menjadi serius. Sampaikan ada yang sanggup mengorbankan diri demi Islam. Kerana mereka SERIUS. Serius untuk ke syurga.

Allah tidak menjadikan syurga dan neraka itu perkara yang main-main. Ianya adalah satu hal yang besar, berat dan signifikan. Bahkan tetapi manusia terlalu leka dengan urusan dunia sedangkan dunia inilah dicipta untuk permainan. Firman Allah:

Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya? Al-An'am:32

Maksudnya, sesiapa yang leka dengan pilihan duniawi yang menginginkan kebahagiaan itu bersamanya sahaja mereka itu sebenarnya sedang leka bermain. Menganggap hidup ini hanyalah main-main ialah satu kesilapan yang BESAR. Padahal satu hari nanti di negeri akhirat Allah akan mempertanyakan pada kita segala nikmat masa, kemewahan dan kehidupan kita seperti firmannya:

Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu perolehi dan kamu megah-megahkan di dunia itu). At-Takathur:8

Prioriti

Kerana itulah prioriti dan keseriusan itu perlu seiringan. Bagi kita yang mengikut usrah, adalah sangat merugikan masa dan tenaga jika kita sekadar mengikut usrah untuk mengisi masa lapang sahaja. Maksudnya, ketika senang dan lapang aku akan ikuti usrah, tetapi ketika sibuk sedikit, kesibukanku akan menjadi sebab mengapa aku tidak ke usrah. Padahal nilailah waktu dan masa yang dihabiskan di usrah selama 1-2 jam itu dengan masa yang sudah kita habiskan dengan aktiviti-aktiviti lain yang tidak mendatangkan faedah untuk Islam (lagha). Main game, facebook, bersiar-siar, tidur berlebihan, baca komik, menonton movie, karaoke. Semua ini tidak mendatangkan manfaat pada Islam sedikitpun. Lalu, apabila sampai waktu untuk berusrah, ketika itulah kesibukan dan keletihan melanda secara maksimum. Saya berasa hairan kerana saya juga seorang pelajar.

Lalu timbul persoalan, adakah kita yang salah meletakkan prioriti sebagai seorang yang mengikut usrah atau kita yang tidak serius tentang dakwah dan tarbiyyah? Mari tanya diri kita sebagai seorang yang mengikut usrah. Islam takkan mampu berjaya sehingga cemerlang di zaman Abbasiyyah jika dipenuhi orang-orang sebegini. Tentera-tentera Al-Fateh tidak akan mampu menakluk Konstatinopel jika ada tentera yang bersifat sebegini. Kerana tarbiyyah Islamiyyah itu bukan perkara main-main! Bahkan ianya serius untuk menyelamatkan kita daripada api neraka!

Imam Hassan Al-Banna pernah menyebut:

الواجبات اكثر من الاوقات

Kerja kita lebih banyak dari masa

Lalu mari kita teliti kehidupan seharian kita. Seberapa banyak kita habiskan demi Allah daripada keseronokan kita sendiri. Oleh kerana kehidupan sekeliling kita penuh dengan persekitaran keselesaan, tidaklah bererti kita juga sama-sama menempatkan diri dalam keselesaan, menganggap berehat-rehat dan berseronok-seronok itu sebagai kehidupan yang membahagiakan sedangakan itu boleh bertukar menjadi penyeksaan pada hari penentuan.

Kerana itu Rasulullah bersabda:

Apabila kamu melintasi taman-taman surga, hendaklah kamu berhenti singgah.

Para sahabat bertanya, “Apa taman-taman surga itu?”

Beliau menjawab, “Majlis Ilmu (mengingati Allah)“

[Hadits Riwayat at-Tirmidzi]

Nah, bukankah jelas mesej yang ingin disampaikan oleh Rasulullah? Lalu apakah masih berasa berat lagi untuk kita serius dan memberikan prioriti pada usrah? Kenapa mutabaah amal kita masih lagi banyak lompong dan bocornya? Kenapa assignment yang diberikan ketika usrah tidak sama ertinya assignment di dalam kelas? Mengapa masih nak bermalas-malasan dengan menganggap umur ini masih muda atau aku ini belum/sudah cukup baik untuk usrah? Adakah tilam yang empuk itu lebih membahagiakan daripada datang ke usrah yang dibuat pada waktu pagi?

Marilah kita mengumpul kekuatan untuk berjihad dengan nafsu sendiri ikhwah akhawat sekalian. Kita perlu kuatkan lagi hubungan dengan Allah. Kerana semua kemalasan dan keberatan ini datangnya daripada hati yang dibisiki syaitan. Mengadulah pada Allah, mengapa diri kita masih tidak serius untuk ditarbiyyah dan mentarbiyyah. Umat sedang dirayapi oleh lipas-lipas jahiliyyah, tidakkah kita berasa geli? Tanya pada diri sendiri mengapa kita malas untuk memahami Islam? Mengapa kita masih merasa berat ingin memikul tanggungjawab sebagai seorang Mukmin ini? Persoalan-persoalan ini juga peringatan untuk diri yang lemah ini.

Allah telah menerang secara jelas dalam firman-Nya:

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: "Berangkatlah (untuk berjihad) pada jalan Allah" kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit. At-Taubah:38

Lalu pembaca sekalian, tidak perlu untuk kita toleh ke belakang lagi mengenang kesilapan yang lepas. Sekarang bukanlah masanya untuk menyesal. Saya yakin, baki umur yang ada ini masih sempat untuk membetulkan semuanya. Tanggungjawab kita sebagai pelajar mungkin akan habis selama 4 – 5 tahun, tetapi ingatlah tanggungjawab kita sebagai Muslim ialah untuk selama-lamanya. Kepada yang sudah mengikut usrah, lapangkanlah diri anda untuk usrah bukan menunggu masa lapang untuk berusrah.

Sesuatu yang kita perlu fahami, dakwah itu tidak perlu sentiasa serius, tetapi keseriusan dalam berdakwah itu perlu. Buat ahli-ahli usrah yang masih terkatung dalam keraguan, anda punyai Al-Quran, bacalah, hayatilah dan fahamilah isinya. Itu ialah surat cinta kepada orang yang mendambakan cinta-Nya yang menciptakan dan mematikan manusia. Semoga bermanfaat.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s