Antara tetap dan berubah: Usrah

[tag: unsur-unsur tetap perkumpulan yang perlu difahami]

Sheikh Jum'ah Amin di majlis wacana tarbawi di Shah Alam 11 Julai 2011

Dalam menjalani realiti arus kehidupan, Islam menganjurkan unsur-unsur yang berubah-ubah (anjal) menepati perjalanan kehidupan manusia, namun tidak mungkin tidak unsur-unsur yang tetap diabaikan, berubah mahupun terubah. Pada kita unsur anjal ini pemahaman yang biasa, agama itu berubah mengikut zaman; akan tetapi ramai daripada kita terlupa atau terleka, memahami unsur-unsur tetap Islam itu jauh lebih penting daripada memahami unsur-unsur yang berubah.

Unsur tetap dan unsur anjal

Definisi unsur anjal ialah tempat untuk berfikiran dan berijtihad, dalam lingkungan unsur tetap. Jadi, sesiapa yang terkeluar dari unsur anjal ini tidak akan terkeluar fahamannya selagi mana orang itu masih berpegang pada unsur tetap.

Unsur tetap ialah unsur yang qat’ie (jelas) dimana diputuskan oleh Allah melalu nas yang jelas dan putus (clear cut). Tidak boleh diijtihadkan, berubah mengikut masa, tempat, peribadi dan suasana.

Contoh yang mudah ialah, solat subuh dan qunut subuh. Jika dua imam berselisih baik tentang qunut subuh dan salah seorang mengimamkannnya, maka tertegaklah unsur tetap dengan terdirinya solat subuh, tidak kiralah jika qunut dibaca atau tidak dibaca. Pada kita, daie yang berdarah muda, memahami unsur tetap jemaah (organisasi Islami) dengan jelas dapat mensucikan fikrah kita yang berjemaah terutamanya yang cenderung kepada dakwah dan sudah berada pada jalan dakwah.

Sebelum saya teruskan tulisan ini, suka untuk diberitahu, tulisan ini berpandukan ataupun estrak (extraction) daripada tulisan Sheikh Jum’ah Amin dalam bukunya yang bertajuk Method Pemikiran Al-Banna: Antara Tetap & Berubah. Sheikh Jum’ah Amin ialah naib mursyid Ikhwan yang baru sahaja melawat Malaysia beberapa minggu yang lepas. Perkara yang perlu diketahui ialah tulisan ini ialah ijtihad Sheikh Jum’ah Amin menafsir method pemikiran As-Syahid Imam Hassan Al-Banna (baca IHAB), seorang pemikir genius, mujaddid (pembaharu cara fikir) umat pada zaman moden ini. Kita semua ketahui ketokohan Sheikh Jum’ah Amin melalui sumbangannya dan kita juga maklum tentang kegeniusan As-Syahid IHAB. Jadi apa yang ditulis ini ialah berdasarkan ijtihad mereka untuk Ikhwan dan Ikhwan merupakan jemaah yang paling lama bertahan, kontemporari dan sesuai diikuti pada zaman ini.

Jadi mari kita teliti perkara dalam unsur-unsur tetap secara umum, dan akan saya ulas melalui pemahaman saya yang miskin ini tentang beberapa perkara yang khusus mengenai salah satu daripada unsur tetap ini iaitu unsur ke-4. 10 unsur tetap berjemaah yang direkodkan oleh Sheikh Jum’ah Amin dalam tulisannya ialah:

1. Nama jamaah sebagai fikrah, sejarah dan lambang kesetiaan
2. Amal jamaie ialah wasilah kita
3. Tarbiyyah dan menjauhi kekerasan ialah jalan kita
4. Usrah ialah tunggak tarbiyyah di sisi kita
5. Risalah Taalim, Sepuluh Rukun khususnya Usul 20 dan Risalah Aqaid ialah asas dan sumber pembelajaran kita
6. Syumul dan umum ialah asas pandangan dan fahaman kita yang menyeluruh
7. Syura yang mulzim pemutus perselisihan antara kita
8. Menghormati system dan peraturan ialah akhlak baiah kita
9. Pilihan fiqhiah ialah hak jamaah menentukannya
10. Allah ialah matlamat dalam semua unsur tetap dan berubah, dalam setiap perkataan dan perbuatan kita

Unsur ke – 4: Usrah ialah tunggak tarbiyyah di sisi kita

Usrah merupakan kunci kepada pintu tarbiyyah untuk masuk ke rumah Islam. Selagi seseorang tidak punyai kunci, selagi itu dia tidak akan dapat membuka pintu untuk masuk kepada Islam dengan menyeluruh. Di zaman dunia yang bercelaru, kita keliru dengan kepentingan tarbiyyah sebagai asas membina kefahaman agama dalam diri. Lantas, membiarkan diri ini berterusan dalam unsur jahiliyyah yang tanpa kita sedari unsur jahiliyyah itu sedang merayap-rayap pada jasad kita. Walaubagaimanapun, bukanlah menjadi satu konklusi, dengan mengikut usrah, kita sudah menjadi mukmin, atau sudah masuk Islam secara menyeluruh, namun pendidikan dalam usrah itu sendiri harus menyedarkan kita tentang kefahaman Islam yang sebenar, kefahaman iman yang sebenar, jika tidak usrah atau kunci itu tadi punyai kecacatan sehingga kita tidak juga dapat masuk ke rumah Islam, walaupun sudah punyai kunci di tangan.

Mari kita fahami mengapa usrah menjadi unsur tetap organisasi (jemaah). Faham maksud usrah itu sendiri sahaja sudah cukup untuk memahamkan diri kita tentang usrah. Usrah itu ialah keluarga. Bagaimana naturalnya atau fitrahnya kasih sayang dalam konteks kekeluargaan begitulah yang terjadi di dalam usrah. Di dalam usrah akan berlakunya taaruf (kenal mengenal), tafahhum (baiki membaiki) dan takaful (bantu-membantu). Apabila tertegak ketiga-tiga ciri ini ke dalam diri ahli usrah, individu muslim dapat dilahirkan dan individu itu sendiri akan mampu memelihara tiga rukun usrah itu sendiri kemudiannya. Hilang salah satu ciri ini, hilanglah martabat institusi usrah itu sendiri.

Usrah berasaskan sirah

Pernah dahulu semasa Baiah Aqabah yang kedua, 73 orang lelaki dan 3 orang wanita bertemu Rasulullah untuk membincangkan tentang perkembangan Islam di Madinah. Selepas selesai urusan baiah, Rasulullah melantik 12 daripada mereka sebagai Al-Naqib (pengawas) dan menghantar Mus’ab bin Umair sebagai pembimbing kepada mereka semua. Beginilah caranya Rasulullah memastikan Islam yang syumul itu tersebar, melalui kelompok-kelompok kecil yang kini dijenamakan sebagai usrah. Dalam usrah ahli-ahli dilatih untuk menguatkan fikrah Islamnya dan mengenali unsur-unsur tetap dan anjal. Wasilah usrah ialah wasilah yang menjamin individu-individu untuk bertahan daripada serangan pemikiran daripada musuh-musuh Islam.

Berkumpul dan bertemu secara berkala itu perlu. Tidak cukup dengan hanya solat Jumaat untuk perjumpaan kolektif secara umum, kita perlu bertemu dalam perjumpaan kolektif secara khusus kerana di sini berlakunya pertukaran ilmu dan tarbiyyah yang mengesan dan mengetuk hati-hati untuk terus istiqamah di atas jalan tarbiyyah.

Usrah, tarbiyyah dan murabbi

Memahami usrah sebagai wasilah terpenting tarbiyyah tentulah naqib-naqibah usrah mempunyai tanggungjawab yang amat berat. Kesanggupan dan kesungguhan ini menguji tahapan jihad (kesungguhan) kita demi menjaga kesyumulan agama. Rasulullah dan para sahabat dahulu berhadapan dengan serangan ancaman nyawa dan seksaan fizikal. Sedangkan kita pada masa ini, diserang dengan serangan pemikiran, keselesaan dan kelemahan. Oleh yang demikian, hendaklah naqib-naqibah menguatkan hubungan dengan Allah dan barulah ketika itu gelarannya murabbi pada anak-anak usrahnya. Bukan setakat sahaja ketua kepada anak-anak usrahnya tetapi ketua dalam kuatnya hubungan dengan Allah, rabb sekalian alam. Seorang murabbi perlulah tahu proses tarbiyyah ini merupakan proses yang sulit. Ia memerlukan seorang murabbi yang faham manhaj (system) yang betul, ketekunan amal, akhlak yang mantap, kesabaran, nasihat yang baik, hujah yang jelas, kepekaan dan pemantauan yang teliti dan berhati-hati. Ini merupakan satu cabaran demi Allah taala.

Amatlah rugi bagi orang yang meninggalkan usrah sebagai wasilah utama tarbiyyah atas sebab-sebab yang remeh. Usrah yang kering (tidak menyentuh hati, menyeronokkan) bukanlah menjadi satu alasan untuk kita meninggalkan usrah. Kerana selemah-lemah usrah, di situ ialah peluang kita menghadiri majlis ilmu, yang dinaungi oleh para malaikat. Bahkan Rasulullah menyuruh untuk kita singgahi taman-taman syurga iaitu majlis ilmu itu sendiri dan yang paling penting, setidak-tidaknya ianya adalah interaktif (dua hala). Tidak sama nilai untuk duduk dalam usrah dengan menonton video ceramah di youtube, mendengar ceramah, atau membaca buku. Orang-orang yang bosan dengan usrahnya sepatutnya mengambil langkah proaktif untuk menambah keceriaan di dalam usrah bukan lari untuk menghindar. Jika perkara ini berlaku, ini bermakna kita telah menidakkan tarbiyyah untuk diri kita, seperti menutup pintu hati kita daripada diketuk untuk menerima tarbiyyah. Allah tidak akan melihat alasan – alasan kita jika kita sendiri malas atau memilih-milih. Sangat lain rasanya apabila naqib bertanyakan kepada kita tentang mutabaah amal (amal-amal yang ditugaskan untuk ‘follow up’) kita berbanding kita bertanyakan pada diri sendiri. Kerana itulah ruh usrah, ianya interaktif.

Menganut Islam bukanlah hanya dengan persepsi dan pengetahuan, tetapi pemahaman dan amalnya. Melalui cara faham dan amal yang betul, barulah seseorang dapat dikenali dengan keimanannya, keikhlasannya, bukan dengan janggut, jambang, jubah atau lunak bacaannya. Semoga Allah memimpin kita untuk memahami unsur tetap ke-4 ini iaitu menjadikan usrah sebagai tunjang kepada tarbiyyah. Jika kita redha dengan pentarbiyyahan berlaku melalui usrah, Allah juga akan redha dengan kita, bahkan akan memfakihkan kita dengan Islam, insyaAllah.

Lalu persoalan yang harus kita cari jawapannya sekarang ialah adakah kita sudah punyai usrah?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s