Kerusi

Nota: Artikel ini di ‘kitarsemula’ daripada blog lama yang berkisarkan tentang isu semasa penggunaan nama Allah oleh bukan Islam di Malaysia.

[tag: ulama dan politik]

Lazimnya, kita meraikan tetamu dengan mendapatkan mereka tempat duduk. Tentu lebih selesa bagi kita untuk berbual dengan tetamu dengan keadaan duduk berbanding berdiri. Kerusi yang empuk lebih selesa. Sofa tentunya menjadi pilihan.

Namun, definisi kerusi menjadi berbeza di zaman kita. Ianya menjadi simbolik dan polemik semasa, tidak lagi menjadi keraian bagi tetamu untuk hanya duduk, namun tetamu dan tuan rumah pula sama-sama merebut untuk mendapatkan kerusi. Siapakah yang mendefinisikan kerusi sehingga maksudnya menjadi perkelahian antara kita? Apakah benar kerusi itu mempunyai kuasa atau kita sahaja yang taksub menjadikan ianya berkuasa dengan menghambakan kepada kerusi?

Kita merendahkan darjat kita untuk mendapatkan kerusi tinggi yakni kedudukan, namun alangkah malangnya setelah mendapatkan kerusi tinggi, orang itu mengangkat tinggi kasutnya untuk kepentingannya dan meletakkan orang yang duduk dibawahnya setaraf dengan dulinya. Jahillah pemilik kerusi, mengangkat dirinya sendiri, melupakan orang yang duduk di kerusi-kerusi biasa sahaja. Kerusi-kerusi yang buruk yang sanggup mencari kayu, menjadi kayu ukir kepada kerusi yang tinggi. Apalah nilai maruah orang di atas dan di bawah. Kedua-duanya rugi tersandar di kerusi sendiri.

Sirah Islam membuktikan kerusi tinggi yang kita agungkan telah dipatah-patahkan kakinya untuk membina kerusi yang panjang. Semuanya duduk sama tinggi. Tiada kroni, tiada korupsi. Yang paling penting, pemilik kerusi meraikan tetamunya, sahabat-sahabatnya dan orang yang bersama dengannya membina kerusi yang indah. Kerusi yang bersih, seiring kedudukannya mempamerkan akidah yang sejagat dan sejahtera.

Aku sanjungi kerusi pemerintahan Saidina Umar R.A. Sepuluh tahun Islam di bawah kerusi pemerintahannya. Kesaksamaan dan ketegasan Saidina Umar R.A. mendaulatkan kerusi pemerintahan Islam yang berteraskan Al-quran dan As-Sunnah. Kaki-kaki kerusi pemerintahnnya kukuh menjadi pangkin jemaahnya yang utuh.

Saidina Umar R.A. membebaskan empayar-empayar di luar kota Makkah dan Madinah dengan melimpahi sinar Islam di kawasan-kawasan pembukaan. Dari penjuru empayar Mesopotamia dan Teluk Arab sehinggalah ke Afrika Utara, Saidina Umar R.A. merupakan tunjang pembukaan kota-kota Islam. Gabenor dilantik mewakili kota-kota yang dibuka dan Saidina Umar R.A. melarang rumah para gabenor berpintu melainkan tirai menutup pintu depan rumah untuk memudahkan rakyat mengadu kepada gabenor mereka.

Pemerintahan Saidina Umar sangat mengagumkan sejarawan dunia. Ketegasan Umar R.A. dalam menegakkan Islam meletakkan namanya antara 10 sahabat Rasulullah yang dijamin syurga. Entah kenapa, apabila terkenangkan kisah Saidina Umar R.A. membebaskan Al-Aqsa aku menjadi sayu.

Sesudah Khalid Al-Walid dan tenteranya membebaskan Palestin dari pemerintah Parsi, kunci kota Al-Quds (BaitulMaqdis) harus diserahkan kepada ketua umat Islam ketika itu sebagai simbolik kepada penyerahan pemerintahan. Saidina Umar R.A. sebagai Amirul mukminin dijemput hadir ke majlis yang diraikan oleh orang-orang kristian di Kota Al-Quds bagi menyerahkan kunci kota kepada empayar Islam. Saidina Umar R.A. setuju untuk hadir memenuhi undangan. Bayangkanlah seorang khalifah yang besar namanya, sanggup datang memenuhi undangan majlis yang jaraknya jauh memakan belasan hari perjalanan unta hanya untuk menerima kunci Kota Al-Quds. Bukannya tiada nama-nama yang besar di Baitulmaqdis ketika itu untuk menerima kunci Kota al-Quds. Khalid Al-Walid, Muawiyah bin Abi Sufian dan Abu Ubaidah Al-Jarrah antara orang paling kanan dalam tentera Islam yang juga sahabat Nabi masih berada di Baitulmaqdis.

Namun, atas permintaan orang-orang kristian, undangan diplomasi ini sanggup dipenuhi Umar R.A. dari Madinah ke Palestin. Kenderaan peribadi ketika itu hanyalah unta. Setelah belasan hari menempuh perjalanan yang jauh dan panjang, semua orang Islam dan Kristian menunggu-nunggu kehadiran Umar R.A. menjadi saksi kepada penyerahan kunci Kota Al-Quds. Orang kristian ketika itu bersiap-siap menyambut kedatangan khalifah yang berjaya menjatuhkan empayar Rom dan Parsi yang gah ketika itu dan empayar-empayar yang lain. Ramai mahu melihat siapa itu Umar R.A., ketua umat Islam, dengan kesaksian mata kepala mereka sendiri.

Pada hari yang ditunggu, tibalah Saidina Umar dengan pakaian yang tidak seberapa dan sangat sederhana. Lalu, mengenangkan ramai yang hadir menanti kedatangan Umar R.A. terdapat beberapa orang sahabat (antaranya Abu Ubaidah) menegur Saidina Umar R.A.(lebih kurang bunyinya):

“Wahai amirul mukminin, ramai yang menantikan kedatangan amirul mukminin, jikalah amirul mukminin mengenakan pakaian yang cantik sedikit, barulah kelihatan segak di hadapan mereka yang menantikan amirul mukminin”

Umar R.A. kemudiannya membalas dengan ungkapannya yang menjadi sebutan sehingga sekarang oleh para Ulama dan menyentuh hati siapa yang mendengarnya. Kata Saidina Umar R.A.:

“Kita adalah kaum, yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, jika kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, nescaya kita akan dihina oleh Allah”

Ungkapan saidina Umar R.A. sedikit berbaur kecewa terhadap sahabat yang menegurnya. Apalah ada pada kemuliaan kerusi Umar R.A. melainkan Islam. Terdiam para sahabat mendengar ungkapan Saidina Umar R.A. Setelah menerima kunci masjidil Aqsa, tiada pula Umar R.A. meruntuhkan gereja-gereja orang Krisitian di Palestin malah Saidina Umar R.A. tidak sembahyang pun di dalamnya demi menjaga kesucian rumah ibadat orang Kristian.

Kemuliaan kerusi pemerintahan Umar R.A. itu sendiri dipelihara oleh Allah bukannya oleh manusia. Merentasi waktu dan zaman, kerusi tidak memerlukan pendefinisian yang lain, melainkan hanyalah menjadi tempat duduk. Tiadalah perbezaan antara kerusi mulia yang tinggi dengan kerusi-kerusi yang lain. Kita idamkan kerusi yang tinggi dikuasai semula oleh pewaris Saidina Umar R.A. dan menolak pewaris Srisegala* yang hanya memerintah bertunjangkan korupsi dan kezaliman.

Melihat semangat perkauman bukanlah sesuatu yang salah jika kena pada caranya, namun apabila menyentuh pada akidah, semangat dan pemahaman kita hanyalah satu. Untuk dan demi agama. Apa-apa persamaan hanya dibezakan dengan pemahaman dan kita harus memperjuangkan pemahaman akidah itu sendiri. Agama bukanlah terletak pada bangsa. Tamatkanlah drama kerusi ini bagi orang-orang yang berada di atasnya. Kerusi itu harus digunakan untuk menjaga semua bukan untuk kepentingan sendiri. Aku mengutuk sekeras-kerasnya siapa yang merosakkan gereja dan dalang orang yang melakukannya sehingga akar perancang kerosakan ini. Jangan kerana kerusi sendiri, agama dan bangsa terabai rakyat jadi serabai.

Aku juga rakyat. Aku juga Muslim. Teoriku mudah:

“Apabila isu agama dipolitikkan ianya menjadi fitnah, apabila politik diagamakan ianya menjadi indah”

Rujukan:

1. *Srisegala

2. Pembukaan Kota Al-Quds

3. Malaysia Church Attacked

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s