Surat buat sungai

[tag: menjauhi pencemaran akidah]

Semasa Amru Bin Al-As menjadi Gabenor Islam di Mesir yang dilantik oleh Sayidina Umar Al-Khattab r.a., beliau menghadapi satu cabaran iaitu musim kemarau yang menyebabkan keringnya Sungai Nil yang merupakan sumber utama bekalan air ke seluruh Negara tersebut. Memang menjadi tradisi orang-orang Qibti, yang merupakan masyarakat pribumi Negara Mesir, untuk mengadakan upacara korban dalam sesuatu tempoh untuk ‘penunggu’ yang kononnya ditugaskan menjaga Sungai Nil. Kononnya dengan cara itu mereka akan mendapat keberkatan rezeki. Secara kebetulan pula, berlaku kemarau. Ini menyebabkan penduduk-penduduk memohon untuk mengadakan upacara tersebut bagi mengelak keadaan kemarau yang lebih teruk. Amru bin al-As berusaha menghentikan perbuatan mungkar tersebut di atas prinsip Islam yang mengharamkan upacara memuja syaitan dan jin. Dia segera memaklumkan kejadian itu kepada Khalifah Umar al-Khattab r.a. di Madinah.

Sayidina Umar segera menghantar surat maklum balas, bersama sepucuk surat lain dan meminta Amru supaya mencampakkan surat yang alamatnya ditulis “Buat Sungai Nil” itu ke dalam Sungai Nil.

Isi kandungan surat tersebut berbunyi:

مِنْ عَبْدِاللهِ عُمَر أَمِيْرُ الْمُؤْمِنِيْن، إلىَ نَيْلِ أَهْل مِصْرَ، أمَّا بَعْد: فَإنْ كُنْتَ إنَّمَا تَجْرِيْ مِنْ قِبَلِكَ، وَمِنْ أمْرِكَ فَلَا تَجْرِ، فَلَا حَاجَةَ لَنَا فِيْكَ، وَإنْ كُنْتَ إنَّمَا تَجْرِيْ بِأمْرِ اللهِ الوَاحِدِ القَهَّارِ وَهُوَ الَّذِيْ يُجْرِيْكَ، فَنَسْأَلُ اللهَ أنْ يُجْرِيَكَ

“Daripada hamba Allah ‘Umar Amir al-Mukminin, kepada Sungai Nil penduduk Mesir, Amma ba’d: “Jika sekiranya engkau sebelum ini mengalir dengan sendirimu dan kemahuanmu, maka janganlah engkau mengalir lagi, dan kami tidak ada keperluan terhadap kamu. Jika sekiranya kamu sebelum ini mengalir dengan arahan daripada Allah yang maha esa dan maha gagah, dan Dia yang mengalirkan mu, maka kami memohon kepada Allah untuk mengalirkanmu (semula).”

Dengan karamah Sayidina Umar r.a., pada hari yang sepatutnya penduduk Mesir kembali melakukan amalan syirik itu, Sungai Nil menjadi lebih luas dan lebih banyak airnya. Allah SWT telah mentakdirkan agar tradisi syirik itu berakhir di tangan Khalifah yang sangat dicintai oleh semua umat Islam, Sayidina Umar al-Khattab r.a.

Kita dapat lihat bahawa akidah yang sejahtera mampu menangkis pencemaran akidah yang berleluasa di zaman kita ini. Orang kebanyakannya bergantung kepada keberkatan sesuatu benda yang dikaitkan dengan agama dan menganggap dengan benda itu sesuatu perkara boleh terjadi tanpa mengharapkan daripada kekuasaan Allah. Ikhtiar bukanlah sesuatu pilihan melainkan ikhtiar itu hanya bergantung kepada Allah. Konsep doa dan pengharapan tidak memerlukan medium. Bagi bidang perubatan, itu berada dalam hal yang lain. Tetapi, kalau pokok tanduk rusa diletak di dalam rumah mengelakkan kecurian, atau tidak diganggu jin, itu mengarut. Kalau air yassin bergelen-gelen menjelang musim peperiksaan tanpa individu itu berusaha itu juga tidak masuk akal. Kayu kokka tidak juga menjamin perjalanan darah yang lancar dek kerana dakwaan berkat Nabi Musa memukul laut dengan tongkat yang berasal daripada kayu kokka. Menyapu tengah malam pula tidak pula menyanggahi mana-mana syariat Islam. Menyanyi ketika masak lagilah tidak ada kena mengena dengan jodoh. Jatuhnya tahi bintang juga bukan waktunya membuat ‘wish’ kerana sesuatu hanya berlaku kehendak Allah dan seharusnya kita berdoa sentiasa kepada Allah tanpa memerlukan keberkatan tahi bintang. Kerana, tahi bintang itu juga berlaku biiznillah (dengan izin Allah). Begitu juga dengan membuat ‘wish’ sambil mencampakkan syiling dalam perigi buruk.

Kita menilai sesuatu perkara dengan relevan, bukannya mistik yang dikaitkan dengan Islam. Orang tua-tua dahulu, banyak membuat andaian satu perkara untuk memastikan adab-adab kehidupan sopan terjaga. Contohnya: seperti menyanyi di dapur, berubah tempat makan. Itu semuanya sama sekali kita tidak boleh libatkan dengan jodoh yang ditentukan qadha’ dan qadar Allah S.W.T. Penekanan akidah jauh lebih penting daripada penekanan adab. Jika anda mempercayainya, itu sebenarnya adalah kepercayaan khurafat dan ianya bukanlah perkara yang main-main. Namun pada masa yang sama, adab sopan tetap harus dijaga. Takut nanti kecil hati orang sebelah bila kita pindah tempat makan yang lain. Hilanglah ayu seorang perempuan menyanyi ketika memasak, takut-takut air liur lebih banyak daripada kuah.

Saya teringat semasa kecil dahulu, kalau balik dari sekolah, kami perlu melintasi kawasan paya kecil, dan kawan saya berpesan supaya membacakan perkataan ini sebelum melaluinya: ‘tok, nenek, cucu tumpang lalu’. Heheh, kelakar pulak bila teringat zaman kanak-kanak dahulu. Agaknya, tok dan nenek tu pun dah bengang dan mengeluh: ‘lalu jer lah, aku nak tidur pon tak boleh’. Tapi, tidak bermakna melalui jalan suram, tidak perlu kita berbuat apa-apa. Ayat kursi dan surah As-Saffat ayat 7 sangat mujarab menangkis makhluk halus. Dunia kita dan dunia jin, hanya dipisahkan dengan nama Allah. Jadi, waspada dengan perkara kekhurafatan dan syirik kecil. Semoga Allah melindungi saya dan pembaca.

Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka; As-Saffat 37:7

Rujukan: Tafsir Al-Qurtubiy dan Hasyiat al-Sawiy ‘ala al-Jalalain

Sumber cerita: Ustaz Hj. Zahazan Mohamed [link]

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s