Duit Raya

[tag(umum): malam 1000 bulan]

Web-use_562px-X-608px_Full-set_opt1-08-562x600Tidak lama lagi, kita akan memasuki fasa 10 malam terakhir. Fasa mencari malam Al-Qadr. Kemudian, Ramadhan akan pergi meninggalkan kita. Dan belum pasti, apakah kita akan bertemu lagi nanti.

Setiap kali Ramadhan menjelang, saya bertanya pada diri saya. Apa yang saya akan dapat selepas bulan Ramadhan?

Mengimbau kembali sewaktu zaman kanak-kanak, penat lelah seharian berpuasa akan dibalas dengan ganjaran ‘duit raya’. Teringat satu ketika, saya mengira-ngira hari yang saya berpuasa bersama allahyarham ayah. Hadiahnya ialah seringgit bagi setiap hari yang saya berpuasa. Setiap petang sewaktu beliau pulang kerja, saya akan berkejar-kejar ke biliknya dengan teriakan: “Ayah, adik puasa hari ini!” Dan di pagi satu Syawal, ayah akan berikan duit raya yang ditunggu-tunggu selama sebulan. Saat itu, tiada perasaan boleh digambarkan kerana hati berasa sangat gembira dan puas setelah penatnya berpuasa sepanjang Ramadhan terbalas.

Masuk ke zaman dewasa, kisah duit raya hanyalah tinggal kenangan. Tambahan pula, allahyarham ayah juga sudah pergi buat selama-lamanya. Tiada lagi ganjaran yang ‘tangible’ setelah penat sebulan berpuasa. Malahan berpuasa di perantauan, tiada siapapun yang kisah samada kita berpuasa atau tidak.

Ada di kalangan kita yang mungkin tidak sempat bersedia menyambut ketibaan Ramadhan. Tahu-tahu sahaja, esok sudah mula berpuasa. Jika sebelum ini, kita jarang bertilawah Al-Quran, bulan Ramadhan ini, barulah hendak mula kembali untuk kerap membacanya. Jika sebelum ini, kita jarang solat secara berjemaah, bulan ini baru kita kerap datang ke Surau/Masjid untuk solat berjemaah. Ada yang mungkin istiqamah dan ada yang mungkin gugur di pertengahannya kerana tidak bersedia dengan kedatangan bulan mulia ini.

Kini, tibalah kita di sepertiga akhir Ramadhan. Fasa 10 malam terakhir ini ialah fasa ‘pecutan’ yang sengaja Allah berikan buat motivasi bagi hamba-hambaNya untuk terus beramal sehingga akhir. Antara amalan sangat-sangat digalakkan pada tempoh ini ialah beriktikaf, melazimi istighfar,  berzikir, bermunajat, berdoa, tilawah Al-Quran, dan solat malam. Pada 10 malam terkahir Ramadan, di dalamnya terkandung Malam Al-Qadr di mana Allah SWT menurunkan wahyu pertamanya pada Nabi Muhammad SAW. Istimewanya, pahala amalan malam ini akan dilipatgandakan melebihi pahala amalan 1000 bulan. Berdoalah segala apa yang kita hajati ketika itu dan lakukanlah amalan sebanyaknya. Kemudian berusaha dan bertawakkallah kepada Allah SWT. Pokok pangkalnya, kita perlu terus beramal pada setiap 10 malam terakhir ini kerana salah satunya pasti kita akan bertemu Malam Al-Qadr.

Lalu, setiap kali Ramadhan berakhir, saya akan bertanya pada diri saya. Apa yang saya akan dapat selepas bulan Ramadhan?

Saya tahu, semua yang saya minta akan termakbul. Baik cepat atau lambat, sekarang atau kemudian, secara langsung atau tidak langsung dan dengan apa cara sekalipun, saya yakin ianya akan termakbul. Inilah ‘duit raya’ saya.

InsyaAllah!

Pelayaran Ilmu Seorang Da’ie

[tag(umum): Coretan Al-Kahfi 080006052016]

P1010397

Ba’da A’uzubillahiminassyaitonirrajim

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada muridnya: “Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan (untuk mencari Khidr); atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun” [18:60]

Jika Allah SWT tidak mentaqdirkan Nabi Allah Musa AS untuk bertemu di simpang lautan, tentu sahaja hari ini riwayat kisah Nabi Allah Musa AS berakhir di lautan. Begitulah contoh sikap para da’ie dalam mencari ilmu dan hikmah. Semangat (Hammasah) dan Kesungguhan (Jiddiyyah) Nabi Allah Musa AS menjadi teladan kepada kita bahwa pelayaran Ilmu seorang da’ie tiada pengakhirannya sehingga nyawa berpisah daripada jasad.

Ramai menyangka, semakin banyak ilmu, semakin hebat orang itu. Tetapi para pencinta ilmu harus berwaspada! Sahabat Nabi SAW, Abdullah Ibn Mas’ud pernah berpesan: “Bukanlah ilmu itu diukur dengan banyaknya riwayat. Akan tetapi pokok dari ilmu (ilmu yang bermanfaat) adalah khas-yah/rasa takut -kepada Allah”.

Perjalanan ilmu ialah perjalanan taqwa. Manfaatnya dituai setelah ianya disiram dengan amal-amal soleh beserta baja ketaqwaan kepada Allah untuk menyuburkannya. Itulah ilmu dan hikmah yang dicari oleh Nabi Allah Musa AS dan Allah menemukannya bagi orang-orang bersungguh-sungguh mencari, meneliti dan mengkaji; ikhlas kerana-Nya.

JIka tidak kerana kesungguhan Nabi Allah Musa AS dalam pelayaran mencari ilmu ini, tentu kisah ini tidak tercatat dalam kitab Agung ini untuk dijadikan ibrah buat kita, golongan pencinta ilmu. Amin.

Jumu’ah Mubarokah.

Cinta dan Pengorbanan kerana Allah

[tag(umum): semoga kita mendapat cinta-Nya]

safa2

Hajar tetap mengikuti langkah Ibrahim AS ketika perlahan-lahan beliau berlalu pergi. Selangkah demi selangkah, sayu. Ibrahim AS baru sahaja menimang cahaya mata pertama yang begitu dinanti-nantikannya, membuatkan Hajar tertanya-tanya. Mengapa Ibrahim AS meninggalkan mereka.

Di lembah padang pasir yang tandus, bersama anak kecil yang masih disusui, Hajar mengendongnya terus mengikuti di belakang Ibrahim AS.

“Hendak ke mana wahai suamiku? Mengapa engkau berlalu pergi meninggalkan kami. Apakah sanggup engkau lakukan sebegini..”

Ibrahim AS membisu pergi tanpa kata. Tunduk dan terus berlalu. Tiada rumah yang dibina untuk berlindung dan tiada wakil yang ditinggalkan bersama untuk menjaga mereka daripada musuh atau ancaman binatang buas. Yang ada, hanya sedikit bekalan air dan kurma.

Tanpa putus asa, Hajar mengulangi pertanyaannya berkali-kali. Tiada jawapan daripada mulut suami yang dicintainya. Sehinggalah, Hajar menyatakan soal: “Apakah ini perintah Allah?”

Dengan nada dari dalam jiwa yang sarat, penuh keberatan cinta, Ibrahim seraya berkata: “Ya..” Lalu, tertunduk menahan sebak dan Ibrahim AS terus berlalu melangkah pergi.

“Kalau demikian..” Hajar menyuarakan dengan tenang dan penuh keyakinan, “Allah pasti tidak menyia-nyiakan kami!…..”

Kisah Hajar dan Ismail AS tidak terhenti sekadar ini. Umum mengetahui bagaimana seorang ibu yang tinggi imannya, ditinggalkan suami. Berlari-lari kecil antara Safa dan Marwah demi mencari air buat si anak. Kemudian, ditemukan oleh Allah melalui malaikat-Nya, aimata zam-zam dan berkembang keturunannya di lembah itu sehingga menjadi Makkah pada hari ini.

Kisah perkahwinan/percintaan jarak jauh (PJJ) bukanlah baru bermula di zaman ini. Namun, ianya sudah dimulai sejak zaman Nabi Ibrahim AS untuk dijadikan contoh. Kerana percintaan Ibrahim dan Hajar bukan semata kerana fizikal, tetapi didahului kerana Allah. Ibu yang ditinggalkan bukannya calang wanita. Beliau membesar dan mentarbiyah anaknya lalu terpilih menjadi Nabi dan lahir daripadanya keturunan yang mulia.

Berbahagialah buat pasangan yang berjauhan. Dahulukan cinta kerana Allah kerana selainnya pasti Allah tidak akan menyiakan hambaNya.

Salam AidilAdha 1436H,
Bujang tenang

Hidup sebagai Syahid atau Mati Syahid?

[tag(umum): memahami erti jihad sebenar]

dakwah

Pemuda dan Ideologi

Pada umur meningkat dewasa, pemuda berada di peringkat pencarian identiti untuk disematkan sebagai jati diri. Menjadi pemuda di Malaysia, kita terdedah kepada pelbagai ideologi yang membuatkan kita mudah terpengaruh kepadanya. Boleh jadi pengaruh yang di bawa itu baik keseluruhannya ataupun sebaliknya. Ideologi yang diambil akan menjadi identiti bagi mencorakkan warna-warni kehidupan. Walaubagaimanapun, sesebuah ideologi berpaksikan asas yang salah boleh mengundang kepada pelbagai masalah.

Krisis di Syria dan kemunculan ISIS telah mengenengahkan ideologi jihad di atas nama Islam yang terpesong. Mereka membawa ideologi mendirikan ‘Khilafah Islamiyyah’ tatkala umat Islam masih lemah dibelenggu dengan sistem ekonomi, sosial dan akhlak yang jauh terkebelakang berbanding dengan negara-negara bukan Islam. Bahkan, pemimpin-pemimpin negara majoritinya umat Islam masih berselisihan dan belum mencapai kata sepakat sesama mereka. Sayangnya di Malaysia, ada di kalangan pemuda yang berani dan berhati murni untuk menegakkan Islam termakan dengan ideologi sebegini lalu mempengaruhi mereka bertindak ke medan ‘jihad perang’. Tambahan pula, dengan kirisis tertindasnya umat Islam di Timur Tengah, hal ini menyemarakkan lagi emosi anak muda dan diterjemahkan kepada semangat yang berkobar menentang kezaliman melalui ‘jihad perang’.

Mati syahid

Mutakhir ini, tertulis di laporan akhbar, berita penangkapan kumpulan-kumpulan dan individu-individu di Malaysia yang terlibat dalam mengikuti jihad di Syria atau menyertai ISIS. Rata-rata mereka berada dalam umur lingkungan pemuda. Antara elemen terbesar yang membakar semangat mereka menyertai “jihad” itu ialah meraih gelaran ‘mati syahid’. Fahaman jihad sebegini ialah fahaman yang menyimpang dari tujuannya. Pemahaman mati syahid tidak semudah dengan menyertai perang tanpa memahami tujuan dan matlamat akhir yang ingin diperoleh daripada ‘jihad perang’.

Benar, kemuliaan seseorang mati syahid balasannya hanyalah syurga. Siapa yang tidak mahu masuk syurga tanpa hisab? Bahkan, seharusnya tercatat di dada setiap muslim untuk bercita-cita mendapatkan mati syahid tanpa syarat. Firman Allah S.W.T:

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar [At-Taubah 9:111]

Erti jihad sebenar

Jika fahaman jihad diletakkan di bawah nama Islam, maka, seharusnya kita mencontohi sumber asal jihad itu sendiri iaitu mengikuti fahaman jihad Rasulullah dan para sahabat. Mereka ialah pelopor erti jihad sebenar yang telah berjaya membawa panji Islam menguasai hampir 2/3 dunia suatu ketika masa dahulu. Akan tetapi, jihad perang pada zaman Rasulullah SAW hanya dimulakan setelah Rasulullah dan para sahabat menguasai Madinah dan umat Islam merupakan golongan majoriti di zaman itu. Ketika itu, syariat Islam dapat ditegakkan secara bebas tanpa tentangan (fizikal) dan piagam Madinah dapat dijalankan seadil-adilnya. Sistem keadilan, ekonomi, sosial dan akhlak Islam dihidupkan oleh para sahabat di Madinah. Siri-siri jihad di zaman Madinah pula adanya tercetus kerana ancaman orang kafir dan ada yang tercetus dengan suruhan Allah untuk membebaskan masyarakat setempat menerima dakwah Islam setelah jalan dakwah secara aman ditolak.

Jelaslah di sini, ‘jihad perang’ yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para sahabat ialah jihad mempertahankan dakwah Islam dan bukan jihad membalas dendam atau menentang golongan penindas pada ketika umat Islam masih lemah. Jika tidak, tentunya ‘jihad perang’ sudah diperintahkan lebih awal sejak di zaman Makkah lagi. Namun, Allah memerintahkan supaya umat Islam di zaman Makkah bersabar kerana saranan jihad ketika itu ialah ‘jihad hujjah’ (menyampaikan dakwah) selain ‘jihad melawan diri dan nafsu’ di sebalik tekanan dan kesengsaraan yang mereka hadapi. Sabda Rasulullah SAW:

Seorang mujahid ialah seorang yang berjihad melawan nafsunya kerana Allah SWT dan orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah SWT [Muttafaq alaih]

Sesudah mereka (para sahabat) berjaya menguasai jihad hujjah dan jihad melawan diri dan nafsu (zaman Makkah) barulah Allah mengizinkan untuk mereka melaksanakan ‘jihad perang’ (zaman Madinah). Perintah ini diturunkan setelah mereka amat memahami fungsi jihad sebagai kelangsungan penyebaran dakwah Islam.

Tindakan bunuh diri

Menuntut tertegaknya sistem khalifah di tengah-tengah kucar-kacirnya dunia Islam ialah tuntutan yang tergesa-gesa (isti’jal) ibarat memetik buah yang belum tumbuh pohonnya lagi. Ideologi ini harus diperbaiki lebih-lebih lagi dalam konteks di Malaysia. Menyertai ‘jihad perang’ tanpa matlamat dan fahaman dakwah yang jelas hanya menjadikan jihad sebagai medan ‘membunuh diri’ dan bukan jihad sebagai medan mati syahid. Apatah lagi, perginya seorang pemuda tanpa mahir bahasa arab a’mmi (bahasa pasar) dan penguasaan strategi ketenteraan yang berbeza mengikut geografi menambah lagi kemungkinan dia dibunuh. Pergi tanpa pengetahuan keluarga akan memberi kesusahan kepada mereka untuk mencari pemuda yang hilang. Jika pemuda itu meninggal dunia tentu jasadnya ingin dituntut oleh ahli keluarga. Ini melibatkan kos dan masa. Selain itu, kesedihan dan trauma keluarga yang kehilangan ahlinya juga merupakan sesuatu hal yang menyusahkan ditambah jika ada urusan yang belum selesai (hutang, kontrak, pinjaman dsb).

Menjiwai dakwah sebagai jihad

Hidup sebagai seorang syahid seperti hidupnya para sahabat Rasulullah SAW lebih sukar daripada terus terjun ke medan perang bagi mendapatkan mati syahid. Para sahabat berdakwah melalui perbuatan dan nasihat yang baik. Mereka hidup penuh dengan kesungguhan dalam beragama, menegakkan syariat Islam dalam kehidupan seharian, berakhlak mulia, menjaga amal ibadat, melebihkan saudaranya dan mengorbankan harta, jiwa dan tenaga mereka untuk Islam sebelum dikurniakan syahid di medan ‘jihad perang’. Ini adalah contoh manifestasi keimanan dan ciri-ciri pendakwah yang memahami erti jihad sebenar pada konteks yang betul. Mereka ialah orang-orang yang hidup sebagai syahid sebelum sampai pada waktunya. Memahami tujuan dan matlamat sebenar jihad dalam konteks di Malaysia menjadikan seorang pemuda itu jelas ideologinya dan mulia hidupnya walaupun dia bukan berada di medan perang.

Harga segulung ijazah

[tag(umum): hidup ialah sebuah ujian]

KTjo5Kz7c-

Kalau ijazah boleh dibeli tentu sahaja ramai orang di dunia ini sudah punyai ijazah. Realitinya tidak begitu. Ijazah dimiliki dengan penat lelah, peluh dan air mata. Ada yang 3 tahun dan ada juga yang bertarung sehingga 5 ke 6 tahun untuk lulus bagi meraih segulung ijazah. Pasti ramai yang bersetuju dengan kenyataan ini.

Barang diingat, ijazah bukan sekadar tiket mendapat pekerjaan. Tetapi ijazah ialah sijil pendidikan yang menjadikan kita manusia berguna untuk masyarakat. Memberi apa yang kita miliki. Baik daripada sudut ilmu, pengalaman, pemerhatian mahupun perasaan. Jika ijazah menjadi tiket untuk mengumpul harta, kekayaan dan pangkat, ianya sia-sia.

Kata Allahyarham Hamka*, ulama Minang yang juga punyai ijazah, beliau hidup merantau menuntut ilmu dan akhirnya pulang berbakti memperbetulkan kejahilan masyarakat dan pemerintah:

Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau hidup untuk bekerja, kera juga bekerja.

Kita punyai tujuan yang besar dan matlamat yang jauh dalam hidup. Hidup mulia atau mati syahid. Dan ianya diukur di sisi Allah bukan di mata manusia.

Sandarkanlah kejayaan segulung ijazah yang kita miliki dengan harga penat lelah, peluh dan air mata kita, dimana modal beliannya dipinjamkan daripada tuhan yang menaungi kerajaan langit dan bumi, Allah S.W.T.

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini,: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia: dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (surga).” [Ali Imran 3: 14]

Selamat bergraduasi.

*Nama penuhnya ialah Haji Abdul Malik Karim Amrullah

Universiti Terbaik di Dunia

[tag(umum): pendidikan bermula dari rumah]

universiti-tarbiyah

“Ya syabab!” (Wahai orang muda!)…

Seorang syeikh melaung di hadapan pemuda-pemudi.

“Apakah kamu tahu apa universiti yang terbaik di dunia?” Sambung syeikh itu lagi.

“Universiti Oxford! Universiti Harvard! Cambridge!” Laung suara anak-anak muda memecah kesunyian.

“Lagi?” Syeikh menyambung.

“Al-azhar!” Teka seorang lagi anak muda. Ada yang menyambut dengan tawa.

Syeikh mendiam sebentar, menanti jawapan yang lain. Rata-rata memikirkan tiada lagi universiti yang lebih baik selain apa yang telah disebutkan. Syeikh akhirnya menyambung bicaranya.

“Apakah kamu tahu, universiti terbaik itu ialah rumahmu”

Semua terdiam memikirkan apa di sebalik jawapan itu.

“Apa maksud syeikh?” Balas seorang pemuda.

“Maksudku, Universiti yang terbaik itu ialah rumah yang diuruskan oleh seorang isteri yang solehah. Di situlah ‘universiti’ terbaik yang akan melahirkan dan mendidik anak-anakmu. Menjadi aset buatmu ke syurga. Daftarkanlah anak-anakmu di universiti terbaik itu. Hal itu bakal menjadi tanggungjawabmu nanti. Jika tidak penyesalan akan menyusurimu sehingga ke hari akhirat.”

Syeikh meneruskan bicara dengan penuh hikmah.

“Pernahkah kamu mendengar kisah khalifah Umar RA?”

“Tidak” Sahut hadirin yang rata-ratanya anak muda beliawan. Mereka kini dalam fasa meniti hidup mengejar masa hadapan. Mereka tidak tahu kisah Khalifah Umar RA mana yang dimaksudkan.

Seorang laki-laki telah datang mengadu kepada khalifah Umar RA perihal anaknya yang dianggap berlaku durhaka kepadanya.

Tetapi si anak berkata kepada Khalifah Umar RA.

“Wahai Amirul Mu’minin, bukankah seorang anak memiliki hak atas ayahnya?” Tanya anak itu.

“Benar” Jawab Khalifah Umar RA.

“Hak apakah itu, wahai Amirul Mu’minin?” Soal anak itu lagi.

“Ia harus mencarikan seorang ibu yang solehah untuknya, memberikan nama yang bagus dan mengajarkannya Al-Qur’an.” Ringkas jawab Khalifah Umar RA.

“Wahai Amirul Mu’minin, sesungguhnya ayahku tidak pernah mengerjakan satupun dari hal-hal yang engkau sebutkan tadi. Ibuku adalah bekas hamba, yang beragama Majusi. Dia memberikanku nama yang buruk, dia juga tidak pernah mengajarkan Al-Qur’an walaupun satu huruf.” Ungkap sang anak kepada Khalifah Umar RA.

Lalu Khalifah Umar RA berpaling kepada ayah si anak tersebut dan berkata,

“Engkau datang kepadaku mengadukan anakmu yang durhaka, padahal engkau telah mendurhakainya sebelum dia mendurhakaimu, engkau telah berbuat keburukan kepadanya sebelum dia melakukan keburukan itu kepadamu”

Lalu, syeikh mengakhiri ceritanya dengan senyuman.

“Pastikan! Daftarkan anak-anakmu di Universiti Terbaik di Dunia!”

…..

Sama-sama kita bermuhasabah dan memperbaiki amalan bagi yang belum atau sudah berumahtangga. Semoga kita dapat mendaftarkan generasi Islam akan datang di Universiti Terbaik di Dunia dan melahirkan insan-insan yang hebat dalam memperjuangkan Islam.

Di atas nama Islam

[tag(umum): menjelaskan matlamat dan cara]

Sesungguhnya-Islam-Yang-Akan-Datang-Adalah-Islam-Sunni

Di atas nama Islam kita bersatu dan atas nama Islam kita berbeza. Islam mengiktiraf berbezaan dalam ruang lingkup kesatuan. Ertinya, kita dibenarkan berbeza atas dasar mencapai matlamat yang satu dengan cara yang pelbagai. Oleh yang demikian, di atas nama Islam juga kita mengecapi nilai estetika agama tanpa mengubah apa yang telah diwariskan dengan sewenang-wenangnya. Itu satu hal.

Di atas nama Islam juga kita menghirup agama dan menghembuskan kembali demi menjaga kelangsungan agama ini dalam kehidupan. Kita tidak hidup untuk diri sendiri. Keputusan dan pilihan yang kita buat seharusnya bersandarkan di atas nama Islam. Jika disandarkan pada kepentingan diri, peribadi apatah lagi dunia seharusnya kita masih belum lagi menggarap kehidupan beragama di atas nama Islam.

Di atas nama Islam juga kita berjuang untuk meneruskan hidup demi kesejahteraan dunia dan akhirat. Perjuangan di atas nama Islam itu sungguh indah. Agama Islam itu lebih indah dari cerita cinta yang indah dan romantik. Ia juga lebih indah daripada segala paras dan rupa. Ia juga lebih indah daripada mahligai-mahligai atau kemewahan yang terbentang di dunia. Dunia ibarat laut, kita berjuang berenang merentasinya di atas nama Islam. Kita tidak tenggelam di dalamnya.

Lalu, apa yang kita faham di atas nama Islam. Kefahaman itu tiada pada aku, kamu dan semua daripada kita selagi kita tidak berbicara, beramal dan bertekad di atas nama Islam.